Khamis, 19 Julai 2018 | 8:09pm
GAMBAR fail, hos komedi terkenal AS, Trevor Noah tiba untuk Anugerah Grammy ke-60 di New York pada 28 Januari lalu. - Foto AFP
GAMBAR fail, hos komedi terkenal AS, Trevor Noah tiba untuk Anugerah Grammy ke-60 di New York pada 28 Januari lalu. - Foto AFP

Jenaka 'Afrika menang Piala Dunia' undang kontroversi

WASHINGTON: Hos program televisyen tengah malam Amerika Syarikat, The Daily Show, mengundang kemarahan Duta Perancis ke negara itu selepas berjenaka 'Afrika sebenarnya memenangi Piala Dunia'.

Awal minggu ini, Trevor Noah, hos komedi terkenal AS, memuji 'Afrika' bagi kejayaan pada Piala Dunia, merujuk kepada keturunan pendatang ramai pemain skuad Perancis dan keluarga mereka.

Jenaka itu mengundang kontroversi di Perancis dengan sebahagian pengguna media sosial menuduh Noah, beribukan wanita kulit hitam dan bapa kulit putih yang dilahirkan Afrika Selatan, bersifat rasis.

Duta Perancis ke AS, Gerard Araud, semalam menghantar surat tegas kepada Noah mengkritik jenaka itu, berkata 'ia tidak benar'.

"Pelbagai latar belakang pemain ini adalah gambaran kepelbagaian Perancis.

"Tidak seperti di AS, Perancis tidak merujuk rakyatnya berdasarkan keturunan, agama atau asal.

"Dengan menggelar mereka pasukan Afrika, anda menafikan mereka rakyat Perancis," menurut surat berkenaan.

Sejurus selepas surat itu disiarkan di Twitter, Noah membalas: "Apabila berkata, mereka Afrika, saya tidak bermaksud menafikan mereka rakyat Perancis.

"Saya katakan perkara itu untuk memasukkan mereka dalam budaya Afrika," katanya. - AFP

Berita Harian X