Sabtu, 9 Jun 2018 | 1:19am
PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Donald Trump. - Foto AFP

G7 terkejut, Trump gesa Russia diterima semula

LA MALBAIE: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengeruhkan lagi hubungan dengan sekutu Baratnya, semalam dengan tindakan mengejut menggesa supaya Russia dimasukkan semula kepada dalam Kumpulan G7.

Ketika, pemimpin kumpulan negara industri demokrasi termaju dunia itu memulakan mesyuarat persidangan G7 di Quebec, rata-rata pemimpin Eropah memberi amaran bahawa pendirian Trump menjejaskan penguasaan dunia oleh Barat.

Negara sekutu Barat AS dalam G7 kini berpakat menentang tindakan agresif Russia, selepas tegang dengan pendirian Trump mengenai perdagangan, perubahan iklim dan perjanjian nuklear Iran.

Sebelum menaiki pesawat Air Force One untuk berlepas ke Kanada yang menganjurkan persidangan itu di La Malbaie, utara bandar Quebec, Trump menggesa kumpulan itu kembali kepada formula 'G8' seperti sebelum ini.

"Mereka buang Russia. Russia patut dibenarkan masuk kerana kita mahu Russia ada di meja rundingan," kata pemimpin AS itu sebelum menaiki pesawat Presiden.

Moscow dikeluarkan daripada kelab negara kaya itu yang dianggap sebagai penjamin ketenteraan global dan ekonomi berdasarkan peraturan, selepas Russia menduduki wilayah Crimea, Ukraine. - AFP

Berita Harian X