Jumaat, 8 Jun 2018 | 5:38pm
PRESIDEN Amerika Syarikat, Donald Trump. - Foto EPA
PRESIDEN Amerika Syarikat, Donald Trump. - Foto EPA

Trump 'umpan' Jong-un ke Rumah Putih

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menegaskan, beliau 'sudah bersedia' mengambil bahagian dalam sidang kemuncak bersejarah dengan Kim Jong-un yang tidak sampai lima hari lagi, memberi bayangan bakal menandatangani perjanjian damai dan malah kunjungan akan datang ke Rumah Putih oleh diktator Korea Utara itu.

Trump yang menerima kunjungan Perdana Menteri Shinzo Abe di sini juga menepis kebimbangan berhubung kekurangan pengalaman diplomatik atau dasar luar beliau ketika menyertai rundingan berkepentingan tinggi itu.

"Saya amat bersedia. Saya tidak fikir saya bersedia dengan cukup. Ia mengenai sikap, ia mengenai kesediaan untuk menyelesaikan perkara ini," kata Trump dengan nada berani.

Trump akan bertemu Jong-un pada 12 Jun ini di Singapura, pertemuan pertama antara pemimpin Korea Utara dan AS yang akan memfokuskan program senjata nuklear Pyongyang.

Abe mengunjungi Washington dengan harapan memastikan ketegasan selama berdekad ke atas Korea Utara tidak dihanyutkan dengan sekelip mata.

Jepun berulang kali menegaskan, Washington berhati-hati supaya tidak mudah berlembut dengan rejim bersenjata nuklear itu.

Pada sidang media bersama Abe, Trump mengulangi kenyataannya minggu lalu, kemungkinan beliau dan Jong-un bakal menandatangani perjanjian menamatkan Perang Korea 1950-53. - AFP

Berita Harian X