Rabu, 28 March 2018 | 9:55pm

Peningkatan penggunaan antibiotik global undang 'superbug'

WASHINGTON: Penggunaan antibiotik global meningkat sejak 2000, mencetuskan gesaan dasar baharu diperkenalkan bagi mengekang penggunaannya.

Penyelidik berkata, ia berikutan kebimbangan meningkat ancaman 'superbug' rintangan ubat di seluruh dunia menjadi tidak terkawal.

Satu kajian dalam Prosiding Akademi Sains Kebangsaan (PNAS) berkata, data jualan 76 negara menunjukkan, penggunaan antibiotik meningkat 65 peratus dari 2000 hingga 2015, didorong penggunaannya di negara pendapatan rendah dan pertengahan.

Pasukan penyelidik diketuai saintis daripada Universiti Johns Hopkins di Baltimore dan Pusat Penyakit Dinamik, Ekonomi dan Dasar di ibu kota Amerika Syarikat (AS) berkata, negara berkenaan perlu melabur dalam rawatan, sanitasi dan pemvaksinan alternatif.

"Dengan penggunaan antibiotik meningkat di seluruh dunia, cabaran diberi oleh rintangan antibiotik kemungkinan bertambah buruk.

"Rintangan antibiotik didorong oleh penggunaannya, adalah ancaman kesihatan meningkat di peringkat global.

"Sama seperti perubahan cuaca, mungkin ada titik tertentu tidak diketahui dan ini mungkin menjurus kepada masa depan tanpa antibiotik berkesan," kata penulis kajian yang diterbitkan dalam edisi PNAS.

Dalam kajian ke atas 76 negara, jumlah apa yang digelar 'dos harian ditetapkan' digunakan meningkat daripada 21.2 bilion pada 2000 kepada 34.8 bilion pada 2015.

Penyelidik di Pusat Penyakit Dinamik, Ekonomi dan Dasar, Eili Klein dan seorang daripada penulis kajian berkata, peningkatan itu menunjukkan 'pertambahan akses terhadap ubatan diperlukan di negara di mana banyak penyakit secara berkesan dirawat dengan antibiotik.'

Namun Klein memberi amaran, ketika lebih banyak negara memperoleh capaian terhadap ubatan itu, kadar berkenaan hanya akan meningkat dan akan mendorong peningkatan rintangan.

Sekumpulan pakar dibentuk di United Kingdom pada 2014 menganggarkan, pada 2016, ada sekurang-kurangnya 700,000 kematian berkaitan jangkitan dikaitkan rintangan ubat. -AFP

Berita Harian X