Sabtu, 24 Februari 2018 | 8:59am
Lisa Marie Presley.
Lisa Marie Presley.

Lisa Presley saman bekas pengurus RM391 juta

LOS ANGELES : Anak tunggal legenda rock n roll, mendiang Elvis Presley memfailkan tuntutan saman berjumlah AS$100 juta (RM391 juta) ke atas bekas pengurus perniagaannya kerana mendakwa lelaki itu gagal menguruskan kewangannya dengan baik.

Lisa Marie Presley, 50 mendakwa, perbuatan Barry Siegel itu menyebabkan beliau kini mengalami masalah kewangan yang sangat serius.

Siegel turut memfailkan tuntutan balas dan mendakwa Presley membazirkan semua harta peninggalan bapanya untuk menampung gaya hidup mewah yang diamalkan.

Beliau memfailkan tuntutan saman berjumlah AS$800,000 (RM3.13 juta) untuk semua bayaran yang tidak dijelaskan.

Kedua-dua tuntutan saman berkenaan difailkan awal minggu ini di Mahkamah Tinggi Los Angeles, selepas perkahwinan keempat Presley pada 2016 berakhir, diikuti pengumuman bahawa beliau memiliki hutang berjumlah AS$16 juta (RM62.6 juta).

Presley hanya berusia 9 tahun apabila Elvis menemui ajal pada tahun 1977, meninggalkan beliau sebagai waris tunggal legenda rock n roll itu.

Segala urusan beliau khususnya dari aspek kewangan ditadbir sepenuhnya oleh Siegel sejak tahun 1993 menerusi sebuah dana yang dibentuk khas. - Reuters

Berita Harian X