Khamis, 1 Februari 2018 | 2:00am
PEMIMPIN Hamas Palestin, Ismail Haniya. - Foto AFP
PEMIMPIN Hamas Palestin, Ismail Haniya. - Foto AFP

Ismail Haniya dalam senarai pengganas AS

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) menyenaraikan pemimpin Hamas Palestin, Ismail Haniya, sebagai pengganas yang perlu ditentang.

Langkah itu dijangka mencetuskan ketegangan selepas pengisytiharan Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel oleh Washington.

Haniya, 55, dilantik mengetuai Hamas pada Mei 2017 yang mewakili sayap pergerakan lebih pragmatik.

"Haniya mempunyai kaitan rapat dengan sayap tentera Hamas dan menyokong perjuangan bersenjata termasuk terhadap orang awam," kata Jabatan negara dalam satu kenyataan.

"Beliau dilaporkan terbabit dengan serangan pengganas ke atas rakyat Israel. Malah, Hamas bertanggungjawab ke atas kematian sekurang-kurangnya 17 warga AS yang terkorban dalam serangan keganasan," ujarnya.

Katanya, Haniya kini berada dalam senarai hitam sekuriti perbendaharaan AS yang mengakibatkan sebarang aset miliknya di AS dibekukan selain dihalang berurus niaga dengan mana-mana individu dan syarikat di negara berkenaan.

Selain Hamas, turut disenaraihitamkan kerajaan AS termasuk Harakat al-Sabireen iaitu kumpulan militan kecil yang berpecah dari jihad Islam dan kini beroperasi di Gaza.

Sementara, dua lagi kumpulan yang aktif di Mesir iaitu Liwa al-Thawra dan HASM.

"Senarai mensasarkan kumpulan pengganas dan pemimpinnya termasuk ditaja dan diarahkan Iran. Ia menggugat kestabilan di Asia Barat, menghalang proses damai dan menyerang sekutu kami, Mesir dan Israel," kata Setiausaha Negara AS, Rex Tillerson dalam satu kenyataan.

Keputusan itu membangkitkan kemarahan pemimpin Hamas itu yang menyifatkan AS 'melampaui batas' dan menyeru kebangkitan intifada baharu.

"Dasar Zionis yang disokong AS sukar ditentang melainkan dengan kebangkitan intifada," katanya.

- AFP.

Berita Harian X