Khamis, 21 Disember 2017 | 1:13am
MENTERI Luar Palestin, Riyad al-Malki. - Foto AFP
MENTERI Luar Palestin, Riyad al-Malki. - Foto AFP

AS didakwa ugut negara anggota UNGA

ISTANBUL: Amerika Syarikat (AS) didakwa mengugut negara anggota Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UNGA) menjelang pengundian berhubung isu Baitulmaqdis, pada Khamis.

Menteri Luar Palestin, Riyad al-Malki, berkata AS membuat kesilapan apabila bertindak mengedarkan surat cuba mengugut negara anggota, sekali gus mengancam kedaulatan pihak yang mahu mengundi.

Beliau menyatakan demikian pada sidang akhbar bersama rakan sejawatnya, Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu di sini, sebelum mereka berlepas ke New York.

Wakil Khas Washington, Nikki Haley pada Selasa memberi amaran bahawa beliau akan membuat laporan kepada Presiden Donald Trump, susulan tindakan beberapa negara anggota yang menyokong draf resolusi menolak pengiktirafan dibuat Amerika Syarikat ke atas Baitulmaqdis.

UNGA dijadual mengadakan sesi tergempar hari ini berhubung pengiktirafan AS itu, selepas negara berkenaan menggunakan kuasa veto pada peringkat Majlis Keselamatan PBB (UNSC).

Menurut Riyad, ia adalah definisi baru kuasa dunia di dalam politik dan secara tidak langsung memperlihatkan campur tangan AS secara terbuka.

Turki dan Yaman sebelum ini mendesak sesi tergempar Perhimpunan Agung PBB diadakan bagi pihak Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Negara Islam (OIC). - AFP

Berita Harian X