Rabu, 25 Oktober 2017 | 1:46am
MENTERI Kehakiman Quebec, Stephanie Vallee berkata, wanita perlu menanggalkan tudung apabila perlu untuk tujuan pengenalan tetapi bukan untuk keseluruhan perkhidmatan awam. - Foto Reuters

Perlu tunjuk muka bagi kes tertentu

MONTREAL (Kanada): Quebec yang berhadapan kritikan berhubung undang-undang baru melarang rakyat menutup muka mendapatkan perkhidmatan kerajaan di wilayah itu, semalam berkata, ia hanya terpakai dalam kes tertentu dan tidak mengehadkan akses kepada perkhidmatan kecemasan.

Wilayah itu, minggu lalu meluluskan undang-undang yang tidak menjelaskan bentuk pemakaian menutup muka yang dilarang tetapi memberi tumpuan perdebatan ke atas mengenai niqab yang dipakai wanita Islam, yang menutup seluruh muka kecuali mata.

Pihak yang menerima kesan undang-undang itu, termasuk kakitangan sektor awam seperti guru, pegawai polis, pekerja hospital dan penjagaan harian dan mereka yang berurusan dengannya.

Menteri Kehakiman Quebec, Stephanie Vallee, berkata wilayah itu mahu memastikan pengenalan tepat dan komunikasi lebih baik serta keselamatan awam.

Vallee berkata, wanita perlu menanggalkan tudung apabila perlu untuk tujuan pengenalan tetapi bukan untuk keseluruhan perkhidmatan awam.

Beliau berkata, tiada siapa akan dihalang mendapatkan rawatan perubatan kecemasan, walaupun enggan menanggalkan tudung.

"Ia adalah peraturan biasa," kata Vallee kepada wartawan di Quebec City.

Kenyataan Vallee dibuat susulan bantahan berterusan terhadap undang-undang itu, termasuk daripada kumpulan Islam dan penyokong hak asasi.

Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau, berkata kerajaan tiada hak menentukan cara wanita berpakaian tetapi tidak menyebut sama ada Ottawa akan mencabar undang-undang itu. - REUTERS

Berita Harian X