Selasa, 26 September 2017 | 6:50am
Jalan raya yang musnahkan akibat taufan Maria di Roseau, ibu negara pulau Dominika di Caribbean. - Foto AFP
Jalan raya yang musnahkan akibat taufan Maria di Roseau, ibu negara pulau Dominika di Caribbean. - Foto AFP

Empangan Guajataca runtuh paksa penduduk berpindah

SAN JUAN: Sebahagian besar penduduk yang tinggal berhampiran empangan Guajataca di Puerto Rico yang hampir runtuh susulan taufan Maria sudah dipindahkan ke kawasan selamat, semalam.

Pada masa sama, Gabenor Ricardo Rossello menggesa Kongres Amerika Syarikat (AS) membiayai pakej bantuan bagi mencegah krisis kemanusiaan selepas serangan taufan terbabit.

Hampir keseluruhan kepulauan Caribbean itu, wilayah AS dengan 3.4 juta penduduk bergelap lima hari selepas Maria membadai membawa angin kencang dan hujan lebat dalam tempoh hampir satu kurun.

Ada kebimbangan meningkat terhadap kira-kira 70,000 orang yang tinggal di lembah sungai di bahagian barat laut berhampiran empangan berusia 88 tahun itu yang runtuh di beberapa bahagian sejak Jumaat lalu.

"Saya lebih suka jika membuat silap berbanding tidak melakukan apa-apa hingga menyebabkan kehilangan nyawa.

"Beberapa bahagian empangan sudah runtuh dan sekarang kami mahu menilai jika ada bahagian lain yang mungkin turut runtuh.

"Namun, sebahagian besar penduduk berhampiran sudah dipindahkan," kata Rossello kepada CNN.

Tidak jelas jika gabenor itu mengatakan majoriti daripada 70,000 penduduk sudah meninggalkan kawasan itu atau hanya beberapa ratus orang yang tinggal di bandar paling hampir dengan empangan.

Menurut media tempatan, kira-kira 320 penduduk tinggal di beberapa pekan berhampiran empangan itu dan mereka sudah dipindah ke kawasan lebih selamat. - Reuters

Berita Harian X