SAN JUAN: Puerto Rico berhadapan bahaya banjir dan gangguan bekalan elektrik ke seluruh pulau itu semalam angkara Taufan Maria ketika angka korban mencecah lebih 15 orang di kepulauan kecil Dominica di Caribbean itu.
Presiden Donald Trump mengisytiharkan Puerto Rico sebagai zon bencana dan berkata, Maria 'memusnahkan' wilayah Amerika Syarikat dengan 3.4 juta penduduk itu.
Gabenor Ricardo Rosello yang menyifatkan Maria sebagai ribut pemusnah abad ini, berkata kepulauan itu mengalami gangguan bekalan elektrik dan infrastruktur telekomunikasi.
Rossello memberi amaran hujan lebat dijangka turun beberapa hari lagi yang boleh menyebabkan banjir dan runtuhan lumpur.
"Kebimbangan terbesar adalah jumlah hujan dan banjir terutama di barat. Kami menjangka menerima sehingga 63 sentimeter hujan," katanya kepada radio WAPA.
Ribut itu menyebabkan sekurang-kurangnya 18 kematian, termasuk 15 di Dominica, dua di Guadeloupe dan satu di daerah Bayamon di utara Puerto Rico.
"Puerto Rico musnah sepenuhnya. Ia dalam keadaan amat, amat, amat sukar," kata Trump kepada wartawan selepas mengisytiharkan bencana dalam langkah yang akan membolehkan dana bantuan kecemasan diambil. - AFP