Selasa, 1 Ogos 2017 | 7:23am
ANTHONY Scaramucci. - Foto Reuters
ANTHONY Scaramucci. - Foto Reuters

Scaramucci hanya bertahan 10 hari

WASHINGTON: Presiden Donald Trump memecat Pengarah Komunikasi Rumah Putih, Anthony Scaramucci, selepas 10 hari memegang jawatan itu.

Tindakan terbabit dilihat sebagai pergolakan terkini membabitkan kakitangan pentadbiran Trump yang baru berusia enam bulan.

Keputusan itu dibuat pada hari pertama Ketua Turus Staf baharu, John Kelly, memulakan tugasnya dan bertekad melaksanakan arahan serta disiplin ke atas kakitangan Rumah Putih yang berpuak-puak dan suka mengumpat.

Seorang pegawai pentadbiran berkata, Kelly meminta Scaramucci dipecat.

Pemecatan Scaramucci menyusul antara minggu paling bermasalah kepada pentadbiran Trump yang menyaksikan kegagalan usaha presiden Republikan itu membatalkan sistem penjagaan kesihatan Amerika Syarikat (AS) di Kongres.

Pada masa sama, jurucakap dan bekas Ketua Turus Staf meletak jawatan masing-masing di Rumah Putih berikutan terbongkarnya perbalahan dalaman.

Reputasi Scaramucci terjejas berikutan kenyataannya kepada majalah New Yorker minggu lalu yang antara lain menyaksikan beliau menyelar Ketua Turus Staf ketika itu, Reince Priebus, dan ketua strategi Trump, Steve Bannon, dengan menggunakan perkataan lucah.

"Presiden berasakan kenyataan Anthony tidak sesuai bagi penyandang jawatan itu," kata Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Sarah Sanders, kepada wartawan. - Reuters

Berita Harian X