Sabtu, 29 Julai 2017 | 11:30am
DONALD Trump memecat ketua turus kakitangan Rumah Putih, Reince Priebus (kiri), menggantikannya dengan John Kelly.- Foto Reuters
DONALD Trump memecat ketua turus kakitangan Rumah Putih, Reince Priebus (kiri), menggantikannya dengan John Kelly.- Foto Reuters

Trump pecat Priebus, ganti Kelly

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump memecat ketua turus kakitangan Rumah Putih, Reince Priebus semalam, menggantikannya dengan Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri dan bekas jeneral, John Kelly.

Hanya beberapa jam selepas kekalahan memalukan terhadap pembaharuan penjagaan kesihatan yang menonjolkan kerapuhan kawalan partinya dalam Kongres, Trump mengumumkan rombakan dalaman kedua dalam tempoh kurang seminggu.

Sejak mentadbir Rumah Putih enam bulan lalu, Trump memecat penasihat keselamatan negara, timbalan penasihat keselamatan, pengarah Biro Siasatan Persekutuan (FBI), setiausaha media, pengarah komunikasi, pemangku peguam negara, timbalan ketua turus kakitangan dan kini ketua turus kakitangan iaitu jumlah penggantian pegawai atasan yang tertinggi dalam sejarah politik AS.

Priebus menerima kecaman selama beberapa bulan, menyaksikan satu demi satu sekutunya di Rumah Putih meletak jawatan atau melepaskan jawatan, kemuncaknya selepas pemergian setiausaha media Sean Spicer, seminggu lalu.

Pemergiannya jelas tidak dapat dielak apabila Trump enggan campur tangan kerana pengarah komunikasi baharunya, Anthony Scaramucci secara terbuka menggambarkan Priebus sebagai 'skizofrenia paranoid' dalam siri kecaman lantang.

Trump mengumumkan pertukaran itu di Twitter ketika mendarat di sini selepas lawatan sehari, yang ditemani kedua-dua Priebus dan Scaramucci.

"Saya berbesar hati memaklumkan anda bahawa saya menamakan Jeneral/Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, John F Kelly sebagai Ketua Turus Kakitangan Rumah Putih.

"Beliau seorang rakyat AS yang hebat dan pemimpin hebat. John juga sudah menjalankan tugas mengagumkan dalam Kementerian Keselamatan Dalam Negeri. Beliau menjadi bintang sebenar dalam pentadbiran saya," tulis Trump dalam Twitternya. - AFP

Berita Harian X