Jumaat, 3 Februari 2023 | 7:06pm
Sudan Selatan mencapai kemerdekaan daripada Sudan yang majoriti Islam pada 2011 tetapi tidak lama selepas itu terjerumus ke dalam perang saudara yang menyebabkan 380,000 orang terkorban. - Foto AP
Sudan Selatan mencapai kemerdekaan daripada Sudan yang majoriti Islam pada 2011 tetapi tidak lama selepas itu terjerumus ke dalam perang saudara yang menyebabkan 380,000 orang terkorban. - Foto AP

21 maut dalam serangan di Sudan Selatan malam menjelang lawatan Pope

JUBA: Sekurang-kurangnya 21 orang terbunuh dalam serbuan di Sudan Selatan pada malam sebelum lawatan Pope Francis untuk menggalakkan keamanan di negara yang dilanda konflik itu, kata pihak berkuasa tempatan.

Pope Francis dijadualkan tiba hari ini untuk "ziarah damai" selama tiga hari bersama Uskup Agung Canterbury dan Moderator Perhimpunan Agung Gereja Scotland.

Pemimpin gereja berusaha untuk menggalakkan perdamaian dan pengampunan di negara yang majoritinya Kristian, yang masih dibebani dengan keganasan bersenjata kronik selepas perang saudara.

Semalam, pengembala bersenjata membunuh 21 orang awam dalam serangan balas terhadap kem lembu saingan di Kajo-Keji County di Equatoria Tengah, kata pejabat pesuruhjaya daerah.

"Pesuruhjaya Daerah Kajo-Keji mengutuk sekeras-kerasnya serangan ke atas kem lembu dan pembunuhan beramai-ramai orang awam yang tidak bersalah dalam tindakan balas dendam biadab," kata kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Ketua Biskop Canterbury, Justin Welby berkata beliau "ngeri" dengan serangan pada malam sebelum lawatannya.

"Ia adalah cerita yang terlalu sering didengari di seluruh Sudan Selatan. Saya sekali lagi merayu cara berbeza: agar Sudan Selatan bersatu untuk keamanan yang adil," tulisnya di Twitter semalam.

Sudan Selatan mencapai kemerdekaan daripada Sudan yang majoriti Islam pada 2011 tetapi tidak lama selepas itu terjerumus ke dalam perang saudara yang menyebabkan 380,000 orang terkorban.

Peperangan secara rasmi tamat pada 2018 tetapi negara masih dibelenggu dengan keganasan yang dilancarkan oleh militia tempatan yang bersenjata lengkap dan kumpulan etnik saingan.

Minggu ini, Misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Sudan Selatan (UNMISS), Amerika Syarikat dan misi asing lain menimbulkan kebimbangan mengenai tanda-tanda bahawa puak bersenjata sedang bersiap sedia untuk berperang semula di Upper Nile.

Negeri di utara negara itu telah menyaksikan beberapa keganasan bersenjata paling ganas di Sudan Selatan dalam beberapa bulan kebelakangan ini, dengan beribu-ribu orang awam mencari perlindungan di pangkalan PBB.

"Dengan lawatan bersejarah Pope Francis, Uskup Agung Canterbury dan Moderator Gereja Scotland ke Sudan Selatan dijangka berlangsung minggu ini, UNMISS merayu kepada pemimpin negara dan masyarakat untuk menahan diri dan komited kepada keamanan dan dialog," katanya dalam satu kenyataan. - AFP

Berita Harian X