Rabu, 5 Oktober 2022 | 4:50pm
Tiga anggota pasukan pengaman PBB dari Bangladesh yang terbunuh. (Dari kiri) Sainik Jashim Uddin, Sainik Jahangir Alam dan Sainik Sharif Hossain. - Foto AGENSI
Tiga anggota pasukan pengaman PBB dari Bangladesh yang terbunuh. (Dari kiri) Sainik Jashim Uddin, Sainik Jahangir Alam dan Sainik Sharif Hossain. - Foto AGENSI

Bom tepi jalan membunuh tiga anggota pasukan pengaman PBB

DAKAR: Satu letupan bom di tepi jalan membunuh tiga anggota pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dari Bangladesh dan mencederakan beberapa yang lain di barat laut Republik Afrika Tengah semalam, kata PBB.

Serangan itu berlaku berhampiran perkampungan Kaita, berhampiran sempadan dengan Cameroon, di kawasan yang penuh dengan aktiviti militan.

"Batalion itu sedang melakukan rondaan... apabila sebuah kenderaannya melanggar bahan letupan," kata misi pengaman MINUSCA dalam ciapan hari ni.

Tiada militan dipersalahkan secara langsung atas serangan itu, walaupun ketua MINUSCA, Valentine Rugwabiza mengecam 'penggunaan alat letupan oleh kumpulan bersenjata'.

MINUSCA berkata, ia telah melancarkan siasatan ke atas letupan itu.

Republik Afrika Tengah telah digegarkan oleh keganasan sejak 2013 apabila kebanyakan pemberontak Seleka Muslim menggulingkan presiden ketika itu, Francois Bozize, menyebabkan tindakan balas daripada kebanyakan militan Kristian.

Konflik itu telah mengorbankan lebih sejuta orang, menurut PBB.

Keganasan berkurangan selepas perjanjian damai goyah ditandatangani pada Februari 2019 antara kerajaan dan 14 kumpulan bersenjata, tetapi keadaan masih tidak menentu kerana sebahagian besar wilayah masih di luar kawalan kerajaan di salah satu negara termiskin di dunia.

Pasukan pengaman PBB telah dikerahkan ke CAR pada 2014. Misi itu pada masa ini membabitkan lebih 14,200 anggota beruniform dan telah mengalami 147 kematian, kata laman webnya. - REUTERS

Berita Harian X