Rabu, 7 September 2022 | 10:05pm
Anggota pertubuhan Palang Merah membantu mangsa tanah runtuh di Kasese, Uganda. - Foto REUTERS
Anggota pertubuhan Palang Merah membantu mangsa tanah runtuh di Kasese, Uganda. - Foto REUTERS

15 maut, tertimbus tanah runtuh di Uganda

KAMPALA: Sekurang-kurangnya 15 orang maut di barat Uganda selepas kediaman mereka tertimbus dalam tanah runtuh yang tercetus akibat hujan lebat.

Menurut laporan pertubuhan Palang Merah hari ini, pekerja kecemasan terpaksa meredah lumpur untuk mencari mangsa yang terselamat.

Jurucakap Palang Merah Uganda, Irene Nakasita, berkata kebanyakan mereka yang terbunuh adalah wanita dan kanak-kanak.

Beliau, yang turut menunjukkan gambar operasi mencari dan menyelamat (SAR) berkata, sekurang-kurangnya enam orang diselamatkan dan dipindahkan ke hospital berdekatan.

Lokasi bencana, Kasese, begitu terdedah kepada tanah runtuh, terutama semasa musim hujan kerana ia terletak di kaki pergunungan Rwenzori yang melintasi sempadan dengan Republik Demokratik Congo.

Selepas kemarau yang berpanjangan, hujan lebat kini melanda sebahagian besar Uganda sejak akhir Julai lalu, menyebabkan kematian dan banjir serta kemusnahan tanaman, rumah dan infrastruktur.

Pada bulan Julai, banjir yang disebabkan oleh hujan lebat mengorbankan sekurang-kurangnya 24 orang di daerah Mbale, di timur Uganda.

Agensi cuaca negara itu mengeluarkan amaran bahawa ia akan dilanda hujan yang luar biasa kuat pada musim Ogos-Disember, malah menasihatkan orang ramai yang tinggal di kawasan pergunungan supaya berwaspada atau berpindah ke kawasan lebih selamat. - REUTERS

Berita Harian X