Selasa, 6 September 2022 | 8:33am
Anggota pasukan keselamatan Burkina Faso mengawal kawasan kejadian letupan yang mengakibatkan seramai 35 orang awam terbunuh, manakala 37 lagi cedera. - Foto AFP
Anggota pasukan keselamatan Burkina Faso mengawal kawasan kejadian letupan yang mengakibatkan seramai 35 orang awam terbunuh, manakala 37 lagi cedera. - Foto AFP

35 maut dalam letupan di Burkina Faso

OUAGADOUGOU: Sekurang-kurangnya 35 orang awam maut, manakala 37 lagi cedera akibat terkena letupan buatan sendiri (IED) ketika perjalanan berkonvoi membawa bekalan di utara Burkina Faso," kata Gabenor Wilayah Sahel, Rodolphe Srgo.

Negara Afrika itu berada dalam cengkaman pemberontakan sejak tujuh tahun lalu yang meragut lebih 2,000 nyawa dan memaksa kira-kira 1.9 juta orang meninggalkan rumah mereka.

Insiden berkenaan berlaku ketika konvoi yang diketuai tentera menghantar bekalan di bandar-bandar utara yang bergolak antara Bourzanga ke Djibo, menurut kenyataan Rodolphe.

"Salah satu kenderaan yang membawa orang awam melanggar IED. Angka kematian buat masa ini seramai 35 orang yang maut, manakala 37 lagi cedera, semuanya orang awam.

"Pengiring konvoi dengan cepat mengawal perimeter dan mengambil langkah untuk membantu mangsa," kata kenyataan itu sambil menambah konvoi berkenaan sudah meninggalkan kawasan utara menuju ibu kota Burkina Faso, Ouagadougou.

Sumber keselamatan memberitahu AFP konvoi bekalan itu terdiri daripada orang awam, pemandu dan peniaga.

Menurut penduduk Djibo, beberapa dozen kenderaan termasuk trak dan bas pengangkutan awam dilanggar dan mangsa kebanyakkannya peniaga yang akan membeli bekalan di Ouagadougou.

Kumpulan pemberontak baru-baru ini melancarkan serangan serupa di jalan menuju ke bandar utama di utara, Dori dan Djibo.

Pada awal Ogos lalu, seramai 15 askar maut di kawasan sama dalam kejadian letupan IED.

Sejak tahun lalu, Burkina Faso menjadi pusat keganasan, dengan lebih banyak serangan maut daripada negara jiran, Mali atau Niger pada 2021, menurut pertubuhan bukan kerajaan, Acled. - AFP

Berita Harian X