Isnin, 5 September 2022 | 7:57am
Angka maut banjir di Sudan meningkat 112 orang, manakala 115 lagi cedera. - Foto AFP
Angka maut banjir di Sudan meningkat 112 orang, manakala 115 lagi cedera. - Foto AFP

Angka maut banjir di Sudan meningkat 112 orang

KHARTOUM: Lebih 100 orang maut, manakala puluhan ribu rumah musnah akibat hujan lebat dan banjir di Sudan sejak Mei lalu, kata pihak berkuasa negara itu.

Hujan lebat biasanya berlaku di Sudan antara Mei dan Oktober, dan negara itu dilanda banjir yang teruk setiap tahun, menghancurkan harta benda, infrastruktur dan tanaman.

Bulan lalu, Sudan mengisytiharkan kecemasan akibat berlaku banjir di enam negeri.

"Bilangan orang yang maut disebabkan hujan lebat dan banjir mencapai 112 orang," kata Jurucakap Majlis Kebangsaan Sudan untuk Pertahanan Awam, Abdel Jalil Abdelreheem.

Pihak berkuasa pada akhir Ogos lalu melaporkan seramai 79 orang maut akibat bencana berkenaan.

"Sejumlah 34,944 rumah musnah sepenuhnya, manakala 49,060 rosak," kata Abdelreheem kepada AFP sambil menambah sekitar 115 orang cedera.

Negeri timur Gedaref dan Kassala, Negeri Kordofan Utara dan Selatan, Negeri Sungai Nil dan rantau Darfur adalah antara yang paling teruk terjejas, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan UNICEF.

PPB juga memberi amaran banjir tahun ini boleh menjejaskan sehingga 460,000 orang, jauh lebih tinggi daripada purata 388,600 orang yang terjejas setiap tahun antara 2017 hingga 2021. - AFP

Berita Harian X