Khamis, 29 September 2022 | 7:00pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Sekurang-kurang 19 maut keracunan arak

RABAT: Sekurang-kurang 19 maut, manakala berpuluh-puluh lagi dimasukkan ke hospital akibat keracunan dipercayai selepas meminum arak daripada warung tepi jalan di utara Maghribi, menurut laporan media tempatan, semalam.

Susulan itu, polis menahan seorang suspek berusia 48 tahun, kata Ketua Direktorat Keselamatan Nasional dalam satu kenyataan.

Media melaporkan, mangsa dipercayai meminum arak beracun itu di kedai suspek di mana penyiasat kemudian menemui hampir 50 liter cecair berkenaan.

Undang-undang di Maghribi melarang penjualan arak kepada umat Islam, namun minuman itu boleh didapati dengan mudah di bar, restoran dan kedai yang menjualnya secara sorok-sorok.

Pegawai Kementerian Kesihatan memberitahu pemberita, hospital menerima sembilan mayat akibat insiden terbabit pada Selasa lalu sebelum jumlah mangsa maut meningkat kepada 19, setakat semalam.

Kira-kira 30 orang dibawa ke hospital dalam keadaan kritikal, dengan dua masih berada di unit rawatan rapi. Seorang jururawat memaklumkan, mangsa mengalami gejala sakit kepala, muntah dan kejang perut. - AFP

Berita Harian X