Isnin, 26 September 2022 | 8:32am
 Foto fail REUTERS
Foto fail REUTERS

Rakyat protes kemiskinan, harga naik, kekurangan makanan di Tunisia

TUNIS: Ratusan rakyat Tunisia menyertai bantahan di ibu negara bagi menentang isu kemiskinan, harga tinggi dan kekurangan beberapa bahan makanan, sekali gus meningkatkan tekanan ke atas kerajaan Presiden Kais Saied, ketika negara itu mengalami krisis ekonomi dan politik.

Tunisia sedang bergelut untuk memulihkan kewangan awamnya apabila rasa tidak puas hati meningkat terhadap inflasi yang mencecah hampir sembilan peratus dan kekurangan banyak barangan makanan di kedai kerana negara itu tidak mampu membayar beberapa barangan import.

Negara Afrika Utara itu juga berada di tengah-tengah krisis politik yang teruk sejak Saied merampas kuasa eksekutif tahun lalu dan membubarkan Parlimen dalam satu tindakan disifatkan penentangnya sebagai rampasan kuasa.

Di daerah miskin Douar Hicher di ibu negara, beberapa penunjuk perasaan mengangkat roti ke udara. Yang lain melaungkan, "Di mana Kais Saied?" Golongan muda yang marah membakar tayar.

Di pinggir bandar Mornag, golongan belia menyekat jalan, membantah kes bunuh diri seorang lelaki yang dikatakan keluarganya menggantung diri, selepas polis perbandaran mengganggunya dan merampas mesin penimbang ketika dia menjual buah-buahan di jalan tanpa kebenaran.

Polis rusuhan melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan penunjuk perasaan di Mornag. Penunjuk perasaan menaikkan slogan menentang polis dan membaling batu.

Di Douar Hicher, penunjuk perasaan melaungkan "Pekerjaan, kebebasan dan maruah negara," dan "Kami tidak boleh menyokong kenaikan harga gila", "Di mana gula?"

Kekurangan makanan semakin teruk di Tunisia dengan rak kosong di pasar raya dan kedai roti, menambah rasa tidak puas hati rakyat Tunisia yang menghabiskan masa berjam-jam mencari gula, susu, mentega, minyak masak dan beras.

Video di media sosial menunjukkan pada Ahad puluhan pelanggan berebut-rebut untuk mendapatkan sekilogram gula di pasaran.

Tunisia, yang mengalami krisis kewangan paling teruk, sedang berusaha mendapatkan pinjaman Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk menyelamatkan kewangan awam daripada keruntuhan.

Kerajaan menaikkan harga silinder gas bulan ini sebanyak 14 peratus buat kali pertama dalam tempoh 12 tahun. Ia juga menaikkan harga bahan api buat kali keempat tahun ini sebagai sebahagian daripada rancangan untuk mengurangkan subsidi tenaga, perubahan dasar yang dicari oleh IMF. - REUTERS

Berita Harian X