Ahad, 25 September 2022 | 7:09pm
Al-Shabab mengaku bertanggungjawab atas serangan itu. - Foto AP
Al-Shabab mengaku bertanggungjawab atas serangan itu. - Foto AP

7 maut akibat pengeboman berani mati di Somalia

MOGADISHU: Serangan berani mati yang didakwa dilakukan oleh kumpulan militan Islam Somalia, Al-Shabaab membunuh sekurang-kurangnya tujuh orang dan mencederakan sembilan yang lain di Mogadishu hari ini, tentera dan saksi memberitahu AFP.

Seorang 'pengganas terdesak' meletupkan dirinya pagi ini berhampiran barisan rekrut baharu yang mendaftar di pangkalan tentera Nacnac di selatan ibu negara Somalia, komander tentera tempatan Abdullahi Adan memberitahu AFP.

"Tujuh orang terbunuh dan sembilan lagi cedera," katanya.

"Saya berada berhampiran dengan lokasi letupan, ia besar dan saya dapat melihat orang mati dan cedera," kata saksi kejadian, Ahme Gobe kepada AFP.

Seorang lagi saksi yang menyaksikan kejadian, Asha Omar, berkata melihat sekurang-kurangnya 10 orang dibawa pergi dengan ambulans.

Al-Shabaab, kumpulan pelampau Islam yang dikaitkan dengan Al-Qaeda yang melancarkan pemberontakan terhadap negara Somalia selama 15 tahun, mengaku bertanggungjawab atas serangan itu.

Pejuangnya membunuh sekurang-kurangnya 19 orang awam di tengah Somalia awal bulan ini.

Kumpulan itu melakukan serangan besar ke atas sebuah hotel di Mogadishu pada Ogos, menyebabkan 21 orang terbunuh dan 117 cedera berikutan pengepungan selama 30 jam.

Presiden Somalia, Hassan Sheikh Mohamud, telah berdepan dengan Al-Shabaab yang bangkit sejak pemilihannya pada Mei dan berikrar untuk melancarkan 'perang habis-habisan' terhadap pemberontak.

Mohamud juga terpaksa bergelut dengan kebuluran yang meningkat disebabkan oleh kemarau terburuk negara Tanduk Afrika itu dalam tempoh 40 tahun.

Al-Shabaab telah dihalau keluar dari pusat bandar Somalia, termasuk Mogadishu pada 2011, tetapi masih berakar umbi di kawasan luar bandar yang luas.

Tentera Amerika Syarikat (AS) Rabu lalu berkata, ia telah membunuh 27 anggota militia Al-Shabaab dalam serangan udara di tengah Somalia bagi menyokong pasukan tetap negara itu.

Presiden Joe Biden memutuskan untuk memulihkan kehadiran tentera AS di Somalia Mei lalu untuk memerangi militan, meluluskan permintaan daripada Pentagon, yang menganggap sistem penggiliran pendahulunya, Donald Trump terlalu berisiko dan tidak berkesan. - AFP

Berita Harian X