Ahad, 18 September 2022 | 2:44pm
Terusan Suez. - Foto REUTERS
Terusan Suez. - Foto REUTERS

Mesir naikkan kadar tol transit Terusan Suez tahun depan

KAHERAH: Kadar tol transit Terusan Suez akan meningkat sebanyak 15 peratus bagi semua jenis kapal dan 10 peratus bagi kapal pukal kering dan kapal persiaran mulai tahun depan, umum Penguasa Terusan Suez (SCA).

Menurut kenyataan SCA, kenaikan harga tenaga, kadar pengangkutan dan kadar sewa harian untuk kapal, yang dijangkakan berterusan tahun depan, menjadi faktor utama untuk menaikkan tol transit di sepanjang terusan penting yang menghubungkan Laut Mediterranean ke Laut Merah itu, lapor agensi berita Xinhua.

"Kenaikan (tol) tidak dapat dielak dan perlu dilaksanakan berikutan inflasi global semasa, yang memberi kesan kepada peningkatan kos operasi dan kos perkhidmatan pelayaran yang disediakan di terusan itu," kata Pengerusi SCA, Ossama Rabiee.

Beliau berkata, SCA menyelaraskan kadar tol melalui mekanisme jelas merangkumi perubahan dalam pasaran pengangkutan maritim, sambil menyatakan terusan itu kekal sebagai laluan paling cekap dan paling murah berbanding laluan alternatif. - AGENSI

Berita Harian X