Sabtu, 17 September 2022 | 9:00am
President Kais Saied. - Foto fail AP
President Kais Saied. - Foto fail AP

Penyebar berita palsu di Tunisia berdepan lima tahun penjara

TUNIS: Presiden Tunisia, Kais Saied semalam mengeluarkan dekri memperuntukkan hukuman penjara lima tahun bagi kesalahan penyebaran berita palsu dengan tempoh itu akan ditingkatkan kepada 10 tahun, jika dianggap menyasarkan pegawai atasan.

Dekri diterbitkan dalam Jurnal Rasmi itu, mentakrifkan kesalahan terbabit sebagai perbincangan menerusi rangkaian komunikasi dan sistem maklumat untuk menghasilkan, mempromosi, menerbitkan atau menghantar maklumat palsu atau khabar angin.

Ia berlaku selepas 14 bulan Saied mengatur rampasan kuasa dan kononnya ingin mempertanggungjawabkan pihak yang 'membawa kemudaratan kepada hak orang lain, ketenteraman awam dan pertahanan negara' serta 'penyemai panik dalam kalangan penduduk'.

Kesalahan itu juga boleh dihukum denda 50,000 dinar (RM70,753.80), selain dekri itu menerima kecaman di media sosial selepas diterbitkan, disifatkan sebagai cubaan menyekat kebebasan wartawan.

Saied pada Julai 2021, memecat kerajaan dan menggantung Parlimen, sebelum membubarkan badan perundangan sepenuhnya.

Ramai rakyat Tunisia asalnya mengalu-alukan tindakan menentang sistem demokrasi yang ditubuhkan selepas Arab Spring tetapi secara meluas ia dilihat sebagai tidak berfungsi.

Namun, kritikan meningkat dan kumpulan tempatan serta antarabangsa menuduh presiden menyekat kebebasan awam.

Kesatuan Wartawan Tunisia, pada Mei lalu, memberi amaran kebebasan akhbar di negara itu berdepan ancaman serius. - AFP

Berita Harian X