Jumaat, 16 September 2022 | 8:23am
 Kemusnahan dapat dilihat selepas hujan lebat di Kampung Aboud, El-Manaqil, Sudan. - Foto AFP
Kemusnahan dapat dilihat selepas hujan lebat di Kampung Aboud, El-Manaqil, Sudan. - Foto AFP

Banjir Sudan: 134 maut, ratusan ribu rumah musnah

KHARTOUM: Banjir di Sudan sehingga kini mengorbankan sekurang-kurangnya 134 orang dan memusnahkan ratusan ribu rumah di negara timur laut Afrika, menurut pihak berkuasa semalam.

Hujan lebat biasanya antara Mei dan Oktober di Sudan, negara yang setiap tahun berdepan banjir buruk, memusnahkan harta benda, infrastruktur dan tanaman.

Majlis Kebangsaan bagi Pertahanan Awam berkata banjir mengorbankan sejumlah 134 orang, menyebabkan 120 yang lain cedera, dan merosakkan atau memusnahkan lebih 128,000 rumah setakat musim hujan ini.

Air boleh dilihat membanjiri kampung dan jalan raya dalam rakaman yang disiarkan di televisyen kerajaan.

Mangsa kini tinggal di khemah sementara yang diperbuat daripada kain lusuh selepas banjir menghanyutkan rumah mereka.

Bulan lalu, kerajaan mengisytiharkan darurat akibat banjir di enam daripada 18 negeri di Sudan.

Jumlah kematian musim ini meningkat daripada 112 yang diberikan awal bulan ini.

Dalam angka terkini, kematian tertinggi berlaku di negeri Kordofan Utara, manakala jumlah rumah runtuh tertinggi dicatatkan di White Nile.

Punca utama kematian akibat rumah runtuh, lemas dan renjatan elektrik.

Agensi berita rasmi SUNA berkata, sebuah hospital di Kassala mengalami kerosakan teruk akibat banjir.

"Tandas runtuh, dan pintu serta tingkap dipecahkan di hospital Um Gargour," kata SUNA.

"Kampung itu kini dikelilingi air yang mengancam keruntuhan lebih banyak rumah dan kemudahan."

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), memetik angka kerajaan, berkata banjir setakat ini menjejaskan 286,400 orang.

Negeri seperti Gedaref dan Kassala, Kordofan Utara dan Selatan, Sungai Nil, dan wilayah Darfur adalah antara yang paling teruk terjejas, menurut agensi kanak-kanak PBB, UNICEF.

PBB telah memberi amaran bahawa banjir tahun ini boleh menjejaskan sehingga 460,000 orang - jauh lebih tinggi daripada purata 388,600 orang terjejas setiap tahun antara 2017 dan 2021.

Bencana itu berlaku ketika Sudan bergelut akibat pergolakan politik yang semakin meruncing dan krisis ekonomi yang semakin parah yang diburukkan lagi oleh rampasan kuasa tentera tahun lalu yang diketuai oleh ketua tentera Abdel Fattah al-Burhan. - AFP

Berita Harian X