Sabtu, 25 Jun 2022 | 10:18am
Suasana di pasar di Addis Ababa, Ethiopia. - Foto AFP
Suasana di pasar di Addis Ababa, Ethiopia. - Foto AFP

Bank Dunia peruntuk Ethiopia RM3.1 bilion

ADDIS ABABA: Bank Dunia bersetuju menyediakan AS$715 juta (RM3.1 bilion) dalam bentuk geran dan pinjaman kepada Ethiopia, yang dilanda kemarau dan konflik yang dahsyat, kata kerajaan negara itu.

Beberapa rakan antarabangsa menggantung bantuan sejak tercetusnya konflik antara kerajaan persekutuan dan pemberontak di wilayah Tigray pada November 2020, yang telah menjadi krisis kemanusiaan.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Kewangan Ethiopia mengumumkan pemeteraian perjanjian pembiayaan dengan Bank Dunia.

Ia termasuk AS$600 juta (AS$200 juta dalam bentuk geran dan AS$400 juta dalam bentuk kredit), untuk pelaksanaan program Ketahanan Sistem Makanan.

"Dana ini akan digunakan untuk membiayai peningkatan daya tahan sistem makanan dan kesediaan ketidakamanan makanan," menurut kementerian itu.

Perjanjian itu kemudiannya ditetapkan untuk menyediakan pembiayaan geran sebanyak AS$115 juta untuk projek ekonomi 'Horn of Africa'.

Ini akan "membolehkan rantau ini menyesuaikan diri dengan kesan perubahan iklim, mengkomersialkan pengeluaran ternakan dalam komuniti penggembala, dan memastikan kemasukan kumpulan terpinggir dan terdedah seperti wanita dalam sektor itu," kata kementerian itu.

Perdana Menteri Ethiopia Abiy Ahmed mengumumkan pada 19 Jun bahawa sebuah jawatankuasa sedang mengkaji kemungkinan rundingan damai dengan Barisan Pembebasan Rakyat Tigray.

Pada April, Bank Dunia memberi Ethiopia geran AS$300 juta untuk membantu komuniti yang terjejas akibat konflik. - AFP

Berita Harian X