Selasa, 10 Mei 2022 | 12:17pm
Gambar hiasan. - Foto fail REUTERS
Gambar hiasan. - Foto fail REUTERS

WHO, GAVI tak rancang beli vaksin COVID-19 keluaran Aspen

JOHANNESBURG: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan rakan kerjasama Pakatan Vaksin Global (GAVI), tiada perancangan segera untuk membeli vaksin dibangunkan syarikat Afrika Selatan, Aspen Pharmacare.

Kenyataan kedua-dua badan itu memberi tamparan pada usaha Afrika membangunkan kapasiti pembangunan vaksinnya sendiri.

Aspen melengkapkan perjanjian untuk melengkapkan bungkusan, menjual dan mengedar vaksin Johnson & Johnson, yang dilihat sebagai titik perubahan kepada benua itu yang masih mencatat kadar vaksinasi rendah akibat kelewatan penghantaran oleh Barat.

Namun, jangkaan permintaan tinggi oleh syarikat Afrika Selatan itu di Afrika tidak menjadi kenyataan, dan dijangka perlu menyusun semula kapasiti penghasilan vaksin jika tempahan tidak meningkat.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Afrika, menggesa pelbagai pertubuhan untuk membeli vaksin berkenaan untuk benua itu dan memberi keutamaan kepada sumber yang dihasilkan syarikat Afrika.

Bagaimanapun, COVAX, iaitu program perkongsian vaksin COVID-19 global yang penting dalam tindak balas pandemik di Afrika, tidak merancang untuk membuat tempahan dengan Aspen kerana memiliki lebihan bekalan.

COVAX disokong oleh WHO, GAVI dan Gabungan Inovasi Kesiapsiagaan Epidemik (CEPI).

Jurucakap GAVI pula berkata, pihaknya tidak berada dalam kedudukan untuk membeli kuantiti vaksin COVID-19 yang besar daripada Aspen, berdasarkan situasi permintaan keseluruhan semasa.

"Namun, kami sedang berbincang untuk meneliti kerjasama yang boleh dilaksanakan sebagai sebahagian langkah memperluaskan bekalan serantau," katanya.

Pada masa sama, Pengarah Imunisasi, Vaksin dan Biologi WHO, Kate O'Brien, berkata COVAX sudah mendapatkan 380 juta dos vaksin yang diperlukan untuk program global bagi suku kedua dan ketiga tahun ini.

"Ketika ini, COVAX sudah memiliki bekalan yang melebihi permintaan kebanyakan negara, dan ini adalah situasi yang baik," katanya. - REUTERS

Berita Harian X