Jumaat, 8 April 2022 | 2:00pm
Kakitangan perubatan menyuntik vaksin COVID-19 bagi seorang lelaki di Harare, Zimbabwe. - Foto REUTERS
Kakitangan perubatan menyuntik vaksin COVID-19 bagi seorang lelaki di Harare, Zimbabwe. - Foto REUTERS

Lebih 66 peratus penduduk Afrika mungkin dijangkiti COVID-19 - WHO

JOHANNESBURG: Lebih dua pertiga rakyat Afrika mungkin sudah dijangkiti COVID-19 sejak dua tahun lalu, iaitu 97 kali lebih tinggi berbanding apa yang dilaporkan.

Angka itu berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam, yang turut melaporkan ujian makmal mengesan sebanyak 11.5 juta kes COVID dan 252,000 kematian di seluruh benua Afrika.

Menurut laporan sama, menjelang September tahun lalu, sebanyak 800 juta orang mungkin sudah dijangkiti.

Bagaimanapun, WHO Afrika berkata kajian itu mendapati bahawa jumlah yang disahkan secara rasmi berkemungkinan hanyalah anggaran daripada angka sebenar penularan wabak itu di Afrika.

Menurut ketua WHO Afrika, Matshidiso Moeti, analisis-meta yang baharu mendedahkan bahawa angka sebenar jangkitan adalah sebanyak 97 kali lebih tinggi berbanding kes yang dilaporkan.

"Ini menunjukkan bahawa lebih dua pertiga daripada semua warga Afrika sudah terdedah kepada virus COVID-19," katanya.

Laporan itu menganalisa lebih 150 kajian diterbitkan antara Januari 2020 dan Disember tahun lalu.

Ia menunjukkan pendedahan kepada virus melonjak daripada hanya tiga peratus pada Jun 2020 kepada 65 peratus menjelang September tahun lalu.

"Dalam erti sebenar, ini bermaksud pada September 2021 8.2 juta kes dilaporkan tetapi pada hakikat sebenarnya terdapat 800 juta kes," katanya.

Tambah beliau, purata global angka jangkitan sebenar adalah 16 kali lebih tinggi berbanding jumlah kes sah yang dilaporkan.

Akses terhad kepada kemudahan ujian untuk kebanyakan penduduk Afrika turut menyebabkan banyak jangkitan tidak berjaya dikesan.

Ini kerana ujian saringan di hospital hanya dijalankan ke atas pesakit bergejala dan pelancong yang memerlukan keputusan PCR negatif.

"Tumpuan banyak tertumpu kepada ujian saringan terhadap mereka yang bergejala sedangkan terdapat cabaran dalam mendapat akses kepada bekalan ujian.

"Ini menyebabkan berlakunya cabaran di mana jumlah sebenar pesakit yang dijangkiti dan terdedah kepada virus tidak mencerminkan keadaan sebenar," katanya. - AFP

Berita Harian X