Isnin, 14 March 2022 | 9:35am
Anggota pasukan keselamatan menjadi sasaran serangan kumpulan bersenjata di utara Burkina Faso - AGENSI
Anggota pasukan keselamatan menjadi sasaran serangan kumpulan bersenjata di utara Burkina Faso - AGENSI

13 anggota keselamatan terbunuh serang hendap di utara Burkina Faso

UAGADOUGOU: Sekurang-kurangnya 13 anggota pasukan keselamatan terbunuh dalam serang hendap didalangi kumpulan bersenjata di Taparko, sebuah bandar perlombongan di utara Burkina Faso pada Ahad.

Sumber keselamatan berkata, sepasukan anggota dari gendarmerie di Dori menjadi mangsa serangan hendap terkini itu, dengan beberapa yang lain masih hilang.

Sumber keselamatan lain pula memaklumkan, pasukan bantuan dipanggil dan sedang menggeledah sektor terbabit untuk mencari lapan lagi anggota yang masih hilang.

Lapan anggota tambahan juga cedera dalam serangan itu, dengan dua daripada mereka dilaporkan parah dan dipindahkan untuk rawatan di Tougouri.

Taparko adalah bandar perlombongan yang sering menjadi sasaran serangan pejuang jihad, dengan serangan terkini itu berlaku ketika dua terbunuh dan beberapa lagi cedera apabila sebuah bas melanggar periuk api pada Ahad, juga berhampiran Taparko.

Dalam pada itu, seramai 11 orang dilapor maut dalam serangan ke atas lombong emas di Baliata, juga di kawasan utara itu, dengan saksi memaklumkan kepada AFP sekitar 30 penyerang tiba dengan menaiki skuter.

Sehari sebelum itu, serangan dilakukan ke atas satu lagi lombong emas di wilayah itu menyebabkan 10 maut.

Burkina Faso berdepan ancaman daripada penyerang jihad sejak 2015, apabila militan dikaitkan dengan Al-Qaeda dan kumpulan IS mula menggerakkan serangan rentas sempadan dari Mali.

Lebih 2,000 maut berdasarkan angka kematian dilaporkan AFP.

Serangan menggunakan bom buatan sendiri meningkat sejak 2018, meragut kira-kira 300 nyawa membabitkan tentera dan orang awam.

Pihak tentera mengambil alih kuasa di Ouagadougou pada 24 Januari dan menjadikan usaha memerangi pengganas sebagai keutamaan. - AFP

Berita Harian X