Ahad, 6 March 2022 | 11:57am
Paul-Henri Damiba dilantik pemangku Presiden selama tiga tahun bermula Rabu lalu, selepas mengetuai sejumlah anggota pentadbiran menggulingkan Kabore pada Januari - Foto AFP
Paul-Henri Damiba dilantik pemangku Presiden selama tiga tahun bermula Rabu lalu, selepas mengetuai sejumlah anggota pentadbiran menggulingkan Kabore pada Januari - Foto AFP

Burkina Faso lantik kerajaan interim selepas kudeta

OUAGADOUGOU: Pemangku Presiden Burkina Faso, Paul-Henri Damiba, meluluskan pembentukan satu kerajaan baharu yang turut menyenaraikan Menteri Pertahanan sama yang berkhidmat di bawah bekas Presiden, Roch Kabore, sebelum beliau digulingkan tentera.

Perintah terkini kerajaan Burkina Faso menunjukkan, kerajaan baharu itu merangkumi 25 menteri, termasuk Jeneral Barthelemy Simpore, yang kekal memegang jawatan Menteri Pertahanan di bawah pentadbiran baharu.

Damiba dilantik pemangku Presiden selama tiga tahun bermula Rabu lalu, selepas mengetuai sejumlah anggota pentadbiran untuk menggulingkan Kabore pada Januari.

Rampasan kuasa itu didakwa berikutan kekecewaan memuncak disebabkan keganasan militan yang semakin berganda.

Pelantikan pakar ekonomi, Albert Ouedraogo sebagai Pemangku Perdana Menteri negara Afrika Barat itu diumumkan Khamis lalu.

Kudeta tentera di Burkina Faso adalah keempat di Afrika Barat dalam tempoh 18 bulan, selepas dua di Mali dan satu di Guinea, susulan satu tempoh demokrasi yang memberi harapan kepada wilayah itu.

Pentadbiran baharu Burkina Faso perlu mengekang keganasan pemberontak yang menguasai sejumlah kawasan di wilayah Burkinabe, yang menyebabkan kerugian sumber negara itu. - REUTERS

Berita Harian X