Sabtu, 5 Februari 2022 | 7:59am
Gambar fail. FOTO AFP
Gambar fail. FOTO AFP

10 maut bas terlanggar periuk api

MOGADISHU: Sekurang-kurangnya 10 maut dan dua lagi cedera apabila bas yang mereka naiki meletup akibat terlanggar periuk api, semalam.

Pegawai keselamatan tempatan, Mohamed Nur Dahir berkata, insiden berlaku ketika bas dinaiki mangsa sedang menuju ke bandar pelabuhan selatan Kismayo.

"Ini kejadian mengerikan kerana orang orang awam tidak bersalah terbunuh dan dua lagi cedera dalam letupan memusnahkan bas mini dinaiki mereka.

"Pengganas menanam periuk api di sepanjang jalan digunakan pengangkutan awam dan ini bukan kali pertama mereka berbuat demikian," katanya.

Sementara itu, seorang penduduk, Osman Gelle, yang tiba di tempat kejadian selepas letupan berkata, sebahagian daripada mangsa adalah penjual susu unta dari kampung berhampiran Kismayo.

Kismayo adalah bekas kubu kuat kumpulan Al-Shabaab yang dikaitkan dengan Al-Qaeda, dan sering menyerang orang awam dan kerajaan di negara itu.

Pada Disember 2020, lima orang maut apabila bas yang mereka naiki terlanggar periuk api di selatan Somalia.

Pada September tahun sama, seorang pengebom berani mati membunuh lima askar Somalia dan mencederakan seorang penasihat tentera Amerika di sebuah kampung di luar Kismayo.

Kumpulan Al-Shabaab disingkirkan dari Mogadishu pada tahun 2011 tetapi terus melancarkan pemberontakan maut terhadap kerajaan Somalia. - AFP

Berita Harian X