Khamis, 27 Januari 2022 | 6:30am
Ahli Persatuan Agensi Pelancongan Maghribi (FNAVM) membawa plakad ketika menyertai bantahan di Rabat. - Foto AFP
Ahli Persatuan Agensi Pelancongan Maghribi (FNAVM) membawa plakad ketika menyertai bantahan di Rabat. - Foto AFP

Penggiat pelancongan Maghribi bantah penutupan sempadan

RABAT: Pekerja sektor pelancongan Maghribi menyertai tunjuk perasaan pada Rabu, kali kedua bulan ini bagi membantah tindakan kerajaan menutup sempadan selama dua bulan bertujuan mengekang penularan varian Omicron.

Hampir 200 pekerja industri pelancongan berkumpul di hadapan Kementerian Pelancongan di Rabat, manakala media tempatan berkata demonstrasi lain berlaku di pusat pelancongan Agadir dan Marrakesh.

Negara Afrika Utara itu menggantung semua penerbangan penumpang dari 29 November hingga sekurang-kurangnya 31 Januari kerana varian Omicron yang sangat berjangkit merebak ke seluruh dunia.

Sekatan itu memberi tamparan hebat kepada sektor pelancongan Maghribi, yang sudah terkesan akibat pandemik COVID-19 selama dua musim.

"Penutupan itu memaksa kami menghentikan operasi tetapi pada masa sama tetap menanggung kos operasi," kata Mimoun Azzouzi, yang memiliki agensi pelancongan di Temara, berhampiran ibu negara.

Penunjuk perasaan berkata mereka dikecualikan daripada program bantuan kerajaan dua bilion dirham atau AS$214 juta (RM897 juta) untuk sektor itu.

Sektor pelancongan menyumbang hampir tujuh peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2019.

Ditanya pada Isnin di Parlimen, Menteri Luar Nasser Bourita berkata adalah "penting untuk membuka semula laluan udara, sama penting dalam mengikuti evolusi pandemik".

Kira-kira 200 pekerja industri yang berisiko muflis juga membantah penutupan sempadan di luar Kementerian Pelancongan pada 4 Januari.

Kementerian Kesihatan Maghribi berkata kemuncak jangkitan Omicron berlaku pada minggu yang berakhir pada 23 Januari tetapi dibimbangi berlaku kebangkitan semula.

Di Tunisia, juga di Afrika Utara, kerajaan pada Rabu mengumumkan lanjutan dua minggu sekatan pergerakan waktu malam termasuk penggantungan perhimpunan awam yang berkuat kuasa awal bulan ini.

Sejak awal tahun ini, Tunisia mengalami lonjakan kes baharu COVID-19 kepada kira-kira 9,000 kes sehari. - AFP

Berita Harian X