Rabu, 26 Januari 2022 | 10:54am
Orang ramai berjalan melalui air banjir selepas beberapa rumah terjejas akibat hujan lebat di kawasan kejiranan seluas 67 hektar di Antananarivo, Madagascar. - Foto AFP
Orang ramai berjalan melalui air banjir selepas beberapa rumah terjejas akibat hujan lebat di kawasan kejiranan seluas 67 hektar di Antananarivo, Madagascar. - Foto AFP

46 maut ribut kencang landa Madagascar, Mozambique, Malawi

ANTANANARIVO: Ribut Tropika Ana mengorbankan sekurang-kurangnya 46 nyawa di Madagascar, Mozambique dan Malawi sehingga menjejaskan sistem janakuasa akibat banjir, menurut pihak berkuasa di tiga negara itu, semalam.

Ribut itu yang terbentuk di pantai timur pulau terbesar di Afrika, Madagascar mengakibatkan hujan lebat yang menyebabkan banjir dan tanah runtuh di ibu kota Antananarivo.

Laporan terbaru daripada agensi pengurusan bencana Madagascar semalam, menunjukkan 39 orang terbunuh dan hampir 65,000 kehilangan tempat tinggal sejak minggu lalu.

Beberapa daerah di lokasi rendah di ibu negara kekal dalam keadaan berjaga-jaga dan pemindahan kecemasan sudah bermula semalam.

"Kami sedang dalam proses memindahkan orang dari kawasan banjir," kata Pengarah Unit Penyelamat di Agensi Pengurusan Bencana, John Razafimandimby memberitahu AFP.

Selepas menyeberangi Lautan Hindi, ribut itu melanda di tanah besar Afrika pada Isnin lalu dengan membawa hujan lebat dan angin kencang di daerah tengah dan utara Mozambique.

Pegawai Mozambique berkata, tiga orang terbunuh dengan sekurang-kurangnya 49 cedera di wilayah Zambezia.

Lebih setengah juta orang terjejas di Zambezia serta wilayah Nampula dan Sofala, menurut kerajaan Mozambique dan agensi PBB.

Institut Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan berkata, sebuah klinik dan 16 bilik darjah sekolah musnah semalam.

PBB meramalkan ribut itu akan menyebabkan banjir berleluasa, menyebabkan orang ramai terpaksa berpindah dan merosakkan infrastruktur. - AFP

Berita Harian X