Isnin, 3 Januari 2022 | 8:26pm
Aktivis hidupan liar, mendiang Dr Richard Leakey. - Foto AFP
Aktivis hidupan liar, mendiang Dr Richard Leakey. - Foto AFP

Aktivis hidupan liar Kenya, Richard Leakey meninggal dunia

NAIROBI: Aktivis hidupan liar, Dr Richard Leakey, yang giat menentang pemburuan haram dan perdagangan gading bagi menyelamatkan gajah Afrika, meninggal dunia semalam.

Pemergian ahli paleo antropologi itu pada usia 77 tahun diumumkan Presiden Kenya, Uhuru Kenyatta.

Kenyatta berkata, mendiang pernah berkhidmat sebagai pengarah Muzium Negara Kenya dan dua kali memegang jawatan Pengerusi Lembaga di Perkhidmatan Hidupan Liar Kenya.

"Mendiang berkhidmat kepada negara kita dengan cemerlang.

"Selain kerjayanya yang cemerlang dalam perkhidmatan awam, Leakey memberi sumbangan besar kepada masyarakat sivil, di mana mendiang pernah mengasaskan dan berjaya mengendalikan beberapa institusi," katanya.

Leakey ialah anak kepada ahli paleontologi Louis dan Mary Leakey, yang mengkaji evolusi manusia bermula di Afrika. 

Sepanjang hayatnya, usaha Leakey menyelamatkan hidupan liar daripada pemburu haram dan mengetuai kempen menentang perdagangan gading gajah sangat dihargai.

Sementara itu, Ketua WildlifeDirect, Paula Kahumbu, berkata beliau menghargai jasa mendiang yang banyak membimbingnya bagi memulihara hidupan liar serta ramai anak muda Kenya yang lain.

"Mendiang sangat bersemangat selain berani mempertahankan integriti sama ada dalam pemuliharaan hidupan liar dan penyelidikan arkeologi serta paleo antropologi di muzium berkaitan dengan politik," katanya.

Sebelum ini, Leakey pernah berkhidmat sebagai Ketua Perkhidmatan Sivil antara Julai 1999 dan Mac 2001 di bawah pentadbiran presiden, Daniel Arap Moi, yang menghadapi tekanan bagi menangani rasuah dan kelemahan tadbir urus kerajaan.

Selain itu, mendiang juga pengasas bersama parti Safina pada 1995.

Jawatan terakhir mendiang sebelum menghembuskan nafas terakhir ialah sebagai Pengerusi Institut Lembangan Turkana di Universiti Stony Brook di Amerika Syarikat (AS).

Institusi berkenaan bertanggungjawab dalam penyelidikan dan pendidikan paleontologi serta arkeologi di utara Kenya.

Leakey juga adalah felo Persatuan Diraja yang berpangkalan di United Kingdom (UK) dan felo kehormat Akademi Sains Afrika. - REUTERS

Berita Harian X