KHARTOUM: Pasukan keselamatan Sudan dikerahkan dalam jumlah besar bagi membuat sekatan jalan raya di ibu kota ketika berlaku gesaan untuk perhimpunan prodemokrasi bagi mengingati syuhada yang terkorban dalam protes baru-baru ini.
Komunikasi termasuk internet dan talian telefon telah dihadkan, manakala pegawai bersenjata menyekat jambatan utama merentasi sungai Nil yang menghubungkan Khartoum ke pinggir bandarnya.
Kumpulan pemantau web NetBlocks, berkata perkhidmatan internet mudah alih disekat dari tengah pagi menjelang protes yang dirancang, pertama kali pada tahun ini.
Ini berikutan aktivis menggunakan internet untuk menganjurkan demonstrasi dan menyiarkan rakaman secara langsung perhimpunan itu.
Sudan, dengan sejarah rampasan kuasa tentera yang panjang, melalui perjalanan yang rapuh ke arah pemerintahan awam sejak penyingkiran autokrat, Omar al-Bashir pada 2019 berikutan protes rakyat besar-besaran.
Namun, negara itu dilanda kekacauan sejak ketua tentera, Jeneral Abdel Fattah al-Burhan melancarkan rampasan kuasa pada 25 Oktober dan menahan Perdana Menteri, Abdalla Hamdok.
Abdalla dilantik semula pada 21 November, tetapi protes besar-besaran berterusan apabila penunjuk perasaan tidak mempercayai Abdel Fattah dan janjinya untuk membimbing negara ke arah demokrasi penuh.
Aktivis terus melakukan kempen demonstrasi jalanan selama lebih dua bulan menentang pengambilalihan tentera, walaupun tindakan keras menyaksikan sekurang-kurangnya 53 orang terbunuh dan ratusan cedera dalam keganasan berkaitan protes.
Aktivis berkata, tahun 2022 akan menjadi 'tahun berterusan penentangan' dalam catatan di media sosial.
Mereka menuntut keadilan untuk berpuluh-puluh orang yang terbunuh sejak rampasan kuasa serta lebih 250 terbunuh semasa protes besar-besaran yang pada 2019 yang membuka jalan untuk menjatuhkan Omar.
Sementara itu, menurut Pejabat Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan, lebih 14 juta orang atau satu daripada tiga warga Sudan akan memerlukan bantuan kemanusiaan tahun depan. - AFP