Jumaat, 31 Disember 2021 | 10:46am
Gambar hiasan. - Foto AGENSI
Gambar hiasan. - Foto AGENSI

Puluhan terbunuh dalam serangan udara Tigray - PBB

NAIROBI: Puluhan orang awam terbunuh minggu lalu dalam serangan udara di wilayah paling utara Tigray yang dilanda konflik di Ethiopia.

Agensi tindak balas kecemasan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata ia adalah kematian tertinggi dicatatkan sejak Oktober lalu.

Minggu lalu, Kerajaan Ethiopia memaklumkan tenteranya tidak akan mara lebih jauh ke Tigray, menandakan potensi tiada pertempuran walaupun pemberontak Tigray menuduh tentera melakukan beberapa serangan udara di bulan ini.

Dakwaan kumpulan pemberontak Barisan Pembebasan Rakyat Tigray (TPLF) itu tidak dapat disahkan secara bebas oleh AFP.

Semalam, Pejabat Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA), berkata serangan udara antara 19 hingga 24 Disember lalu itu dilaporkan meragut banyak nyawa, menjadikannya siri serangan udara dan korban paling teruk sejak Oktober.

Serangan itu dilaporkan berlaku di bandar Alamata, Korem, Maychew, Mekoni, dan Milazat di selatan Tigray, dengan satu serangan memusnahkan pencawang elektrik di ibu kota wilayah Mekele, kata OCHA tanpa memberikan butiran lanjut.

"Disebabkan akses terhad, pasukan bantuan kemanusiaan belum dapat mengesahkan jumlah sebenar mangsa yang terkorban," kata agensi itu.

TPLF mengumumkan pengunduran ke Tigray minggu lalu, menandakan titik perubahan dalam perang yang menyebabkan beribu-ribu orang mati dan menyebabkan lebih ramai lagi diancam kebuluran.

OCHA berkata keadaan di utara Ethiopia kekal 'tegang dan tidak dapat diramalkan' dengan pekerja bantuan bergelut untuk mendapatkan bekalan penting bagi mereka yang memerlukan.

"Tiada trak dengan kargo bantuan kemanusiaan memasuki Tigray sejak 14 Disember," kata agensi itu, memetik isu keselamatan.

Secara keseluruhan, 1,338 trak memasuki wilayah itu sejak 12 Julai, yang mewakili kurang 12 peratus daripada bekalan yang diperlukan untuk memenuhi skala keperluan kemanusiaan. - AFP

Berita Harian X