Ahad, 26 Disember 2021 | 7:20pm
Tentera meronda dengan sebuah kenderaan pikap di Gorom-Gorom, utara Burkina Faso. - Gambar AFP
Tentera meronda dengan sebuah kenderaan pikap di Gorom-Gorom, utara Burkina Faso. - Gambar AFP

Pejuang jihad disyaki bunuh 41 orang di Burkina Faso

ABIDJAN: Kerajaan Burkina Faso mengisytiharkan tempoh dua hari berkabung mulai hari ini selepas 41 orang maut dalam serangan yang disyaki didalangi pejuang jihad di wilayah utara yang bergolak.

"Misi serangan di kawasan serang hendap dilakukan oleh kumpulan pengganas bersenjata. Serangan itu mengakibatkan 41 kematian. Presiden memerintahkan perkabungan nasional selama 48 jam," kata kerajaan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pagi semalam.

Kerajaan berkata, kematian itu turut membabitkan anggota pertahanan diri yang dikenali Sukarelawan untuk Pertahanan Tanah Air (VDP) yang ditubuhkan untuk menyokong tentera.

Sukarelawan itu menerima latihan selama 14 hari dan kemudiannya dihantar untuk menyertai rondaan dan misi pengawasan, dengan mereka dilengkapi senjata ringan.

Menurut kenyataan itu, antara mangsa serangan pada Khamis lalu adalah Ladji Yoro, yang dianggap sebagai ketua VDP di Burkina Faso.

"Usaha mengenal pasti mangsa masih dijalankan," kata kenyataan kerajaan itu.

Menurut media tempatan, serangan hendap itu menyasarkan konvoi peniaga yang diiringi oleh VDP berhampiran Ouahigouya, sebuah bandar tidak jauh dari sempadan Mali.

Serangan itu adalah yang mengorbankan paling banyak nyawa sejak pertengahan November apabila 57 orang termasuk 53 anggota tentera, terbunuh.

Sama seperti bandar jiran, Mali dan Niger, Burkina Faso terperangkap dalam lingkaran keganasan sejak 2015, dikaitkan dengan kumpulan jihad bersenjata yang bergabung dengan Al-Qaeda dan kumpulan pejuang DAESH.

Pertempuran itu telah menyebabkan sekurang-kurangnya 2,000 orang terbunuh dan 1.4 juta kehilangan tempat tinggal. - AFP

Berita Harian X