Ahad, 26 Disember 2021 | 7:01am
Anggota Pasukan Pertahanan Rakyat Uganda (UPDF) dan pasukan tentera Congo berkawal di sempadan Mbau-Kamango di Beni, Congo, di mana berlaku serangan bom. - Foto AFP
Anggota Pasukan Pertahanan Rakyat Uganda (UPDF) dan pasukan tentera Congo berkawal di sempadan Mbau-Kamango di Beni, Congo, di mana berlaku serangan bom. - Foto AFP

Lima maut bom meletup di sebuah restoran di Congo

BENI: Tragedi letupan bom di sebuah bandar di timur Republik Demokratik Congo, Beni, mengorbankan sekurang-kurang lima orang awam semalam.

Seorang kolonel yang menguruskan darurat negeri di bandar itu, Narcisse Muteba, berkata bom meletup di pusat bandar.

Rentetan itu, beliau mengarahkan penduduk pulang ke kediaman masing-masing demi keselamatan.

Meskipun Muteba tidak menyatakan jumlah sebenar mangsa letupan itu, koresponden AFP yang berada di tempat kejadian melihat lima mayat bergelimpangan di lokasi kejadian iaitu dekat restoran Box.

Meja, kerusi, botol dan gelas kepunyaan restoran itu habis musnah akibat letupan terbabit.

Lebih 30 orang sedang menyambut perayaan Krismas semasa letupan bom berlaku, dakwa dua saksi kepada AFP.

"Saya sedang duduk di situ, kelihatan sebuah motosikal diletakkan di situ dan tiba-tiba saja motosikal itu meletup," dakwa penyampai radio tempatan, Nicolas Ekila, kepada AFP.

Mangsa yang cedera pula dikejarkan ke pusat kesihatan berhampiran oleh pihak polis.

Kejadian sama pernah berlaku di Beni pada 27 Jun lalu, apabila bom buatan meletup di sebuah gereja Katolik sehingga mencederakan dua wanita dan pada hari sama, seorang lelaki maut susulan bom yang dibawanya meletup.

Pada hari sebelumnya, satu lagi bom meletup berhampiran stesen perkhidmatan. Namun tiada sebarang kemusnahan berlaku.

Pihak berkuasa mendakwa serangan didalangi Pakatan Tentera Demokratik (ADF), yang digelar kumpulan militan paling berbahaya.

Beni yang terletak di daerah Ituri bersempadan dengan Uganda, di mana lokasi itu sinonim dengan pertempuran antara tentera dengan ADF. - AFP

Berita Harian X