Khamis, 16 Disember 2021 | 10:42am
- Penduduk Afrika Selatan mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin. FOTO AFP
- Penduduk Afrika Selatan mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin. FOTO AFP

Afrika Selatan rekod kes jangkitan COVID-19 harian tertinggi

JOHANNESBURG: Afrika Selatan mencatatkan jumlah kes jangkitan harian COVID-19 tertinggi, beberapa minggu selepas mengumumkan penemuan varian baharu Omicron.

Sebanyak 26,976 kes jangkitan dilaporkan semalam. mengatasi rekod tertinggi sebelum ini sebanyak 26,485 pada 3 Julai lalu ketika jumlah kes melonjak pada gelombang ketiga di negara itu disebabkan varian Delta.

Strain Omicron yang cepat bermutasi pertama kali dikesan di Afrika Selatan bulan lalu dan mencetuskan panik global kerana bimbang ia lebih cepat merebak berbanding varian lain.

Pejabat Presiden Afrika Selatan pada Isnin lalu turut mengumumkan Presiden Cyril Ramaphosa positif COVID-19 walaupun lengkap menerima vaksin.

Setakat ini, masih belum jelas mengenai jangkitan varian Omicron walaupun ia ditemui di banyak negara, termasuk sama ada ia menyebabkan kesan lebih teruk atau menunjukkan tindak balasnya terhadap vaksin.

Selasa lalu, 108 kematian akibat COVID-19 dilaporkan manakala 54 orang meninggal dunia akibat virus itu semalam.

Data setakat ini menyatakan vaksin masih penting sebagai perlindungan terhadap Omicron.

Kerajaan Afrika Selatan kini menggalakkan orang ramai mendapatkan suntikan vaksin sebagai usaha mengekang penularan jangkitan varian baharu itu.

Minggu lalu, Afrika Selatan meluluskan pemberian suntikan penggalak untuk semua warganegara berusia 18 tahun ke atas.

Setakat ini, lebih 17 juta orang atau satu pertiga daripada populasi Afrika Selatan diberi vaksin di Afrika Selatan. - AFP

Berita Harian X