Khamis, 16 Disember 2021 | 7:36am
- Hiasan (FOTO AFP)
- Hiasan (FOTO AFP)

AS$93 bilion bantu negara miskin pulih pandemik

WASHINGTON: Bank Dunia menerima suntikan dana sebanyak AS$93 bilion bagi membantu negara miskin, khusus untuk meningkatkan bantuan pemulihan akibat pandemik dan pelaksanaan program lain.

Institusi itu berkata, ia adalah peruntukan terbesar diberikan untuk Pertubuhan Pembangunan Antarabangsa (IDA) yang menyediakan geran kepada 74 negara khususnya di Afrika.

Pakej terbabit merangkumi AS$23.5 bilion, sumbangan diterima daripada 48 negara pendapatan tinggi dan sederhana, termasuk peningkatan kewangan di pasaran saham dan sumber daripada Bank Dunia.

"Hari ini, komitmen dan sikap pemurah sekutu kami sangat membanggakan bagi membantu negara miskin untuk pulih kembali akibat krisis COVID-19," kata Presiden Bank Dunia, David Malpass.

Dana IDA disediakan setiap tiga tahun, tetapi akibat pandemik COVID-19, suntikan dana diberikan setiap tahun sehingga Jun 2025.

Bank Dunia berkata, dana terbabit akan digunakan untuk membantu negara yang memerlukan sebagai persediaan untuk menghadapi krisis baharu, termasuk pandemik, kewangan dan bencana

Kata institusi itu, kira-kira 70 peratus daripada dana berkenaan disalurkan ke negara Afrika. - AFP

Berita Harian X