Khamis, 9 Disember 2021 | 12:24pm
(Gambar fail) Anggota MINUSMA bertugas di Mali. - FOTO AFP
(Gambar fail) Anggota MINUSMA bertugas di Mali. - FOTO AFP

7 anggota pasukan pengaman PBB terbunuh di Mali

KIGALI: Tujuh anggota pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terbunuh, manakala tiga lagi parah dalam satu letupan di tengah Mali, semalam.

Konvoi logistik itu terkena serangan bom buatan sendiri di wilayah Bandiagara, ketika dalam perjalanan ke bandar Sevare dari Douentza, lapor Agensi Anadolu memetik jurucakap Misi Penstabilan Bersepadu Multidimensi PBB di Mali (MINUSMA), Olivier Salgado.

Ketua MINUSMA, El-Ghassim Wane, mengutuk sekeras-kerasnya kejadian itu yang disifatkan sebagai serangan 'pengecut' ke atas pasukan pengaman, sambil menegaskan bahawa ia boleh dianggap jenayah perang bawah undang-undang antarabangsa.

"Tragedi ini menambahkan lagi jumlah serangan ke atas pasukan pengaman di Mali," katanya dalam satu kenyataan.

Timbalan Ketua Setiausaha Agung untuk operasi keamanan PBB, Jean-Pierre Lacroix, mengesahkan anggota pasukan pengaman yang terkorban adalah warga Togol.

"Pelaku jenayah ini tidak boleh terlepas daripada hukuman," katanya dalam Twitter.

Hingga kini, tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab atas kejadian itu yang menyusuli serangan ke atas empat kem MINUSMA di utara Mali, baru-baru ini.

Misi PBB sudah mencatat lebih 230 kematian sejak beroperasi di Mali pada 2013, menurut data PBB.

Mali memerangi pemberontakan yang dikaitkan dengan kumpulan al-Qaeda dan Daesh sejak 2012.

Keganasan itu yang telah mengorbankan beribu-ribu orang awam dan tentera, turut merebak ke negara jiran, Niger serta Burkina Faso. – BERNAMA

Berita Harian X