Selasa, 7 Disember 2021 | 11:47am
Ratusan terbunuh akibat pergaduhan antara puak dan perbalahan dengan penternak di Darfur, Sudan - Foto AFP
Ratusan terbunuh akibat pergaduhan antara puak dan perbalahan dengan penternak di Darfur, Sudan - Foto AFP

Pergaduhan antara puak ragut hampir 50 nyawa di Sudan

KHARTOUM: Hampir 50 individu dilaporkan terbunuh dalam kekecohan terbaru membabitkan keganasan antara puak di Darfur, kata pegawai kerajaan dan pasukan perubatan semalam.

Gabenor Darfur Barat, Khamis Abdallah, berkata dalam tempoh tiga minggu lalu, kekecohan di kawasan paling barat Sudan yang bergolak sejak bertahun lamanya itu meragut sekitar 100 nyawa.

"Keganasan bermula dengan perbalahan dan merebak kepada pembunuhan enam individu pada Sabtu lalu, sebelum lebih 40 lagi terbunuh pada Ahad," katanya.

Jawatankuasa Doktor, yang juga kesatuan bebas, memaklumkan 48 individu terbunuh akibat ditembak peluru hidup di Krink, Darfur, yang terletak kira-kira 80 kilometer dari ibu negeri, El Geneina.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan, 50 individu terbunuh bulan lalu selepas pergaduhan antara penternak tercetus selama beberapa hari, yang turut menyaksikan lebih 1,000 rumah dibakar.

Keganasan itu bermula pada 17 November lalu antara penternak Arab bersenjata di kawasan pergunungan Jebel Moon berhampiran sempadan dengan Chad.

Darfur dilanda perang saudara yang bermula pada 2003, membabitkan pergaduhan antara pemberontak etnik minoriti yang mendakwa diskriminasi oleh kerajaan dikuasai kaum Arab pimpinan bekas Presiden Sudan, Omar al-Bashir.

Khartoum bertindak balas dengan mengerahkan militia Janjaweed, yang dikatakan bertanggungjawab melakukan kekejaman termasuk pembunuhan, rogol, menjarah harta dan membakar perkampungan.

Darfur Barat turut didiami lebih 305,000 penduduk tempatan yang hilang tempat tinggal dan amat bergantung kepada bantuan kemanusiaan.

Semalam, Peiabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) memaklumkan, 14.3 juta daripada 47.9 juta penduduk Sudan, termasuk pelarian, dijangka memerlukan bantuan kemanusiaan tahun depan.

Ia adalah jumlah tertinggi dalam tempoh sedekad manakala misi pengaman PBB sudah menamatkan mandatnya di Darfur tahun lalu. - AFP

Berita Harian X