Isnin, 6 Disember 2021 | 4:12pm
FOTO AFP
FOTO AFP

Bas dihanyutkan arus deras sungai: 7 lagi mayat ditemui

NAIROBI: Anggota pasukan penyelam semalam menemui tujuh lagi mayat mangsa insiden bas dihanyutkan dari jambatan oleh arus deras sungai di Kenya, kelmarin.

Ia sekali gus menjadikan jumlah korban tragedi itu mencecah lebih 30 mangsa, setakat ini.

Bas itu dikatakan sedang membawa kumpulan koir gereja dan beberapa penumpang lain ke satu majlis perkahwinan di daerah Kitui, sebelum ia dihanyutkan serta tenggelam dalam arus deras ketika pemandunya cuba melalui sebuah jambatan yang dinaiki air sungai.

Seramai 12 penumpang dilapor berjaya menyelamatkan diri, namun kebanyakan mangsa lain gagal berbuat sedemikian.

Gabenor Kitui, Charity Ngilu, berkata 31 mayat sudah ditemui sejak Sabtu lalu oleh penyelam tentera, namun angka itu dijangka meningkat ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan.

"Hari ini (semalam), kami berjaya menemukan tujuh mayat. Masih terdapat beberapa lagi penumpang dalam bas itu. Kejadian ini amat menyedihkan," katanya kepada pemberita, semalam.

Setakat ini, belum dapat dipastikan jumlah sebenar penumpang bas malang itu ketika ia dihanyutkan dan karam dalam Sungai Enziu yang terletak kira-kira 200 kilometer timur Nairobi. - AFP

Berita Harian X