Sabtu, 4 Disember 2021 | 8:57pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Pejuang jihad disyaki bunuh 30 orang awam di Mali

BAMAKO: Pejuang jihad disyaki membunuh sekurang-kurangnya 30 orang awam dalam serangan ke atas kenderaan penumpang di Mopti ibu kota Mali, kata pegawai tempatan, hari ini.

Katanya, penumpang ditembak dengan peluru, manakala kenderaan dibakar ketika serangan 'pengganas' berhampiran bandar Bandiagara, semalam.

"Negeri berkenaan sudah menghantar pasukan keselamatan ke tempat kejadian," kata pegawai yang enggan identitinya didedahkan.

Seorang pegawai di Bandiagara yang mengesahkan angka kematian, berkata mangsa termasuk wanita dan kanak-kanak.

Belum ada mana-mana kumpulan bersenjata aktif di negara Afrika Barat berkenaan mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu.

Mali bergelut untuk membendung pemberontakan Islam yang julung kali meletus di utara pada 2012 dan sejak itu mengorbankan ribuan nyawa tentera dan orang awam.

Konflik itu melanda pusat bandar Mali dan merebak ke negara jiran Burkina Faso dan Niger, walaupun terdapat ribuan tentera Perancis dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pusat bandar Mali menjadi antara kawasan panas paling ganas dalam konflik di seluruh Sahel, di mana pembunuhan etnik dan serangan terhadap tentera kerajaan kerap berlaku.

Rampasan kuasa tentera tahun lalu, dilakukan selepas bantahan besar-besaran terhadap keganasan berterusan, gagal membendung pertumpahan darah. - AFP

Berita Harian X