Ahad, 12 Julai 2020 | 7:15am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

5 maut dalam insiden tembakan di Afrika Selatan

JOHANNESBURG: Sekurang-kurangnya lima maut dalam insiden tembakan membabitkan kumpulan bersenjata yang menyerang sebuah gereja di Afrika Selatan dilaporkan berlaku akibat krisis kepimpinan.

Menurut Pesuruhjaya Polis Nasional, susulan kejadian itu, seramai 40 individu termasuk pegawai polis yang tidak bertugas ditahan.

Berdasarkan kenyataan dibuat polis atasan Afrika Selatan, Jeneral Khehla John Sitole, empat mangsa ditemui ditembak dan dibakar di dalam kereta manakala mangsa kelima, iaitu seorang pengawal keselamatan ditembak di dalam kereta ketika beliau dipercayai berada di lokasi kejadian selepas menerima aduan.

"Insiden keganasan luar biasa itu berlaku pada, awal Sabtu apabila kumpulan bersenjata yang menyerang Gereja Suci Pentecostal di Zuurbekom, di pinggir Barat

Johannesburg, menunjukkan mereka ingin mengambil alih premis berkenaan, " kata polis.

Gereja ini mengalami perebutan pewarisan yang sebelum ini dilaporkan secara meluas oleh media tempatan sejak pengasas dan pemimpin bergelar jutawan, Comforter Glayton Modise meninggal dunia pada 2016.

Sitole berkata, polis bertindak balas terhadap laporan terhadap insiden tembakan dan tebusan dengan merampas lebih 34 senjata api termasuk lima laras senapang, 16 senjata lain dan 13 pistol.

"Saya pasti bahawa tindak balas pantas oleh pasukan keselamatan secara bersepadu berjaya menghalang insiden berdarah ini daripada bertambah buruk, " kata Sitole.

Lebih 40 suspek termasuk enam yang dibawa ke hospital ditahan membabitkan anggota polis Afrika Selatan, Pasukan Pertahanan Nasional, Polis Metro Johannesburg dan Jabatan Perkhidmatan Koreksional.

Bagaimanapun, Briged Vishnu Naidoo, berkata pegawai penguatkuasa undang-undang yang ditahan adalah penganut gereja yang terjebak dalam pertempuran itu.

"Mereka ditahan atas kapasiti sebagai ahli gereja dan bukannya sebagai pegawai, " kata Naidoo kepada AFP.

Pesuruhjaya polis berkata, pihak berkuasa sedang menyiasat kemungkinan serangan ini didorong oleh konflik antara pihak gereja yang bermusuh yang digunakan untuk perjuangan sesuatu golongan.

Dipercayai sebagai kumpulan gereja kedua terbesar di Afrika Selatan, kumpulan perkhidmatan kewangan Sanlam menganggarkan rumah ibadat itu mempunyai sekurang-kurangnya 1.5 juta ahli. - AFP

Berita Harian X