Rabu, 13 Mei 2020 | 8:52pm
Konflik antara dua kumpulan menyaksikan 15 orang terbunuh dan lima lagi cedera dalam serangan bersenjata di Niger. - Agensi Anadolu
Konflik antara dua kumpulan menyaksikan 15 orang terbunuh dan lima lagi cedera dalam serangan bersenjata di Niger. - Agensi Anadolu

Kampung diserang, 15 penduduk ditembak mati

KANO: Lelaki bersenjata menyerang sebuah kampung pertanian di utara Nigeria, yang penduduknya majoriti penganut Kristian, mengakibatkan 15 maut.

Jurucakap polis negeri, Mohammed Jalige, dalam satu kenyataan, berkata serangan itu adalah episod keganasan terbaru antara petani dan pengembala di kawasan berkenaan.

"Penyerang menyerbu kampung Gonar Rogo di Kaduna awal pagi semalam ketika penduduk sedang lena tidur dan melepaskan tembakan rambang terhadap mereka, mengakibatkan 15 terbunuh serta lima lagi cedera.

"Polis melancarkan operasi memburu secara intensif dan pada masa sama, berusaha mencegah serangan balas," katanya.

Perkampungan itu terletak di daerah Kajuru, di bahagian selatan Kaduna iaitu kawasan yang sering menyaksikan keganasan antara petani dan pengembala Fulani beragama Islam.

Konflik berpanjangan antara dua kumpulan itu berpunca daripada pertelingkahan berebut hak kawasan meragut dan air.

Presiden Nigeria, Muhammadu Buhari, mengutuk serangan dan serang balas terhadap penduduk dalam kalangan masyarakat Fulani dan Addara.

"Sesiapa pun tidak berhak untuk menentukan undang-undang di tangan mereka sendiri," katanya dalam ciapan di akaun Twitter. - AFP

Berita Harian X