Rabu, 13 Mei 2020 | 5:15pm
Gambar fail menunjukkan anggota tentera Burkina Faso berkawal. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan anggota tentera Burkina Faso berkawal. - Foto AFP

8 anggota tentera Burkina Faso maut

ABIDJAN: Serangan pejuang jihad di utara Burkina Faso menyebabkan lapan tentera terbunuh.

Sumber pasukan keselamatan memberitahu AFP bahawa pejuang jihad melakukan serangan hendap terhadap tentera terbabit Isnin lalu, berdekatan sempadan Nigeria di wilayah Yagha.

"Serangan mengakibatkan empat orang terbunuh dan empat orang lagi hilang, namun jasad tentera yang hilang ditemui ketika misi pencarian selepas itu," katanya.

Menurut sumber, serangan berlaku di perkampungan Kankanfogouol iaitu sebuah kawasan di mana kumpulan bersenjata bergerak berulang-alik melintasi sempadan dan melakukan serangan di kedua-dua negara.

Presiden Burkina Faso, Roch Marc Christian Kabore, berkata darurat kesihatan akibat penularan pandemik COVID-19 seharusnya tidak bermakna kepentingan keselamatan diabaikan.

"Kita mesti kekal peka terhadap kedua-dua masalah ini dan saya mahu memberi penghormatan kepada komitmen barisan tentera pertahanan dan keselamatan," katanya menerusi ciapan di akaun Twitternya.

Bagaimanapun, beliau langsung tidak memperincikan mengenai maklumat serangan terbaru itu.

Burkina Faso adalah sebahagian daripada wilayah yang memerangi pemberontakan kumpulan Islam, bersama dengan negara jiran Mali, Niger, Mauritania dan Chad.

Bagaimanapun, negara di barat Afrika itu kekurangan kelengkapan dan tentera terlatih untuk membendung keganasan, meskipun Perancis menyalurkan bantuan dengan menempatkan memiliki 5,000 tentera di kawasan itu.

Berdasarkan angka Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), serangan pejuang jihad di Burkina Faso, Mali dan Niger mengakibatkan hampir 4,000 orang terbunuh tahun lalu selain sekitar 800,000 orang terpaksa dipindahkan sejak 2015. - AFP

Berita Harian X