Rabu, 29 April 2020 | 8:19am
Pegawai Perhubungan Khas Giza Systems Education Foundation, Aya Dessouky, membantu menghasilkan topeng pelindung muka untuk diagihkan kepada petugas kesihatan yang merawat COVID-19 di Kaherah. - Foto AFP
Pegawai Perhubungan Khas Giza Systems Education Foundation, Aya Dessouky, membantu menghasilkan topeng pelindung muka untuk diagihkan kepada petugas kesihatan yang merawat COVID-19 di Kaherah. - Foto AFP

Mesir sambung tempoh darurat tiga bulan lagi

ISTANBUL: Presiden Abdel-Fattah al-Sisi melanjutkan darurat di seluruh negara selama tiga bulan lagi, lapor agensi berita Anadolu memetik warta rasmi negara itu.

Bagaimanapun, perintah berkurung itu akan bermula pada jam 9 malam hingga jam 6 pagi, berbanding sebelum ini arahan itu dikuatkuasa bermula jam 8 malam sehingga jam 6 pagi.

Sekolah, universiti, masjid dan kawasan pelancongan masih ditutup.

Dalam dekri Presiden, al-Sisi berkata aspek kesihatan dan keselamatan Mesir kini dalam keadaan 'berbahaya'.

Darurat membolehkan pihak berkuasa mengambil langkah-langkah pencegahan lebih ketat, termasuk merujuk suspek keganasan ke mahkamah keselamatan, menguatkuasakan perintah berkurung dan menapis laporan akhbar.

Kementerian Kesihatan dan Penduduk Mesir mengesahkan 20 lagi kematian akibat COVID-19 pada Isnin, menjadikan keseluruhan 337 orang. Jumlah kes berjumlah 4,782 manakala 1,236 pesakit sembuh.

Bulan lalu, Kaherah mengenakan perintah berkurung pada waktu malam bersama dengan langkah-langkah pencegahan lain.

Memandangkan beberapa negara melonggarkan sekatan pergerakan sempena Ramadan, Mesir yang mempunyai hampir 100 juta penduduk, turut mengambil pendekatan sama membenarkan pusat beli-belah dan kedai dibuka setiap hari. – BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X