Sabtu, 28 March 2020 | 9:13am
Lelaki mengangkat tangan ketika melintasi anggota tentera yang mengawal pada perintah berkurung di Alexandra, Afrika Selatan, hari ini. - Foto Reuters
Lelaki mengangkat tangan ketika melintasi anggota tentera yang mengawal pada perintah berkurung di Alexandra, Afrika Selatan, hari ini. - Foto Reuters

COVID-19: WHO beri amaran evolusi secara dramatik di Afrika

PARIS: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran Afrika berdepan ‘evolusi dramatik’ pandemik COVID-19.

Daripada 47 negara di rantau Afrika termasuk Afrika sub-Sahara dan Algeria - 39 negara kini terjejas, kata Pengarah Serantau WHO untuk Afrika, Matshidiso Rebecca Moeti kepada saluran televisyen Perancis France24.

Moeti berkata terdapat kira-kira 300 kes sehari sejak kebelakangan ini dan meminta supaya tindakan intensif diambil negara Afrika.

"Keadaan ini sangat membimbangkan, dengan evolusi dramatik: kenaikan secara geografi dan juga peningkatan jumlah jangkitan," kata Moeti.

Kes telah meningkat di seluruh Afrika, benua termiskin di dunia sepanjang minggu lalu kepada hampir 3,500 kes dan 94 kematian.

Negara-negara Afrika telah mengarahkan perintah berkurung dan kuarantin sebagai tindak balas kepada pandemik yang semakin meningkat, di tengah kebimbangan bahawa infrastruktur kesihatan lemah akan menyebabkan benua itu sangat terdedah kepada wabak.

Moeti berkata langkah diambil bertujuan membendung penyebaran virus dan mengasingkan kes yang disyaki.

Kerajaan telah mengharamkan perhimpunan agama dan acara sukan, sementara sekolah ditutup di 25 negara, katanya.

Beliau berkata 42 negara kini dapat mendiagnosis penyakit itu.

"Beberapa minggu lalu, hanya dua negara yang mempunyai keupayaan diagnostik," katanya.

Tetapi Moeti menegaskan bahawa benua itu kurang dilengkapi untuk menangani krisis kesihatan utama.

"Memang benar masyarakat Afrika hidup dalam keluarga besar. Sukar sekali untuk semua mempunyai bilik sendiri," katanya. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X