Jumaat, 13 March 2020 | 7:34pm
Menteri Kesihatan Kenya, Mutahi Kagwe mengesahkan kes pertama COVID-19 di Kenya pada sidang media di Nirobi. - Foto AFP
Menteri Kesihatan Kenya, Mutahi Kagwe mengesahkan kes pertama COVID-19 di Kenya pada sidang media di Nirobi. - Foto AFP

COVID-19: Kenya sahkan kes pertama

NAIROBI: Kes pertama positif COVID-19 yang disahkan di Kenya menjadikan negara Afrika Timur itu kini turut terjejas akibat penularan pandemik terbabit.

Semalam, seorang wanita berusia 27 tahun yang berasal dari Nairobi disahkan positif COVID-19, kira-kira seminggu selepas kembali dari Amerika Syarikat (AS) melalui London.

Menteri Kesihatan Kenya, Mutahi Kagwe, dalam satu kenyataannya kepada media, mengesahkan wanita itu dilaporkan stabil dan sedang menjalani proses rawatan.

“Kerajaan akan menggunakan semua sumber yang ada bagi melawan COVID-19, demi keselamatan rakyat di negara ini,” katanya.

Mutahi turut berkata, kerajaan sudah mengesan semua individu berhubungan rapat dengan wanita terbabit, yang pulang semula ke negara itu pada 5 Mac lalu.

“Buat masa ini, tentunya tidak ada keperluan untuk rakyat panik atau bimbang,” katanya.

Ketika ini, Kenya memperketatkan larangan penerbangan di beberapa laluan, antaranya Kenya Airways menggantung sementara penerbangan ke Rom dan penerbangan sewa khas dari Itali ke kawasan pinggir lautnya.

Selain itu, persidangan antarabangsa khususnya di Nairobi, turut dibatalkan selain tidak membenarkan perjalanan ke luar negara dalam kalangan ahli politik bagi mengekang penularan wabak itu.

Kerajaan turut mengumumkan larangan lebih tegas termasuk perhimpunan di tempat awam, lawatan di penjara dan kegiatan membabitkan pelajar sekolah. - AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X