Ahad, 26 Januari 2020 | 9:17pm
Serangan pengganas terhadap Kem Tentera Sokolo di tengah Mali mengakibatkan 19 anggota tentera dan separa tentera terkorban selain lima lagi cedera.
Serangan pengganas terhadap Kem Tentera Sokolo di tengah Mali mengakibatkan 19 anggota tentera dan separa tentera terkorban selain lima lagi cedera.

19 anggota pasukan keselamatan Mali terbunuh

BAMAKO: Serangan pengganas terhadap Kem Tentera Sokolo di tengah Mali mengakibatkan 19 anggota tentera dan separa tentera terkorban selain lima lagi cedera.

Sumber tentera memberitahu AFP bahawa serangan dilakukan pengganas menunggang motosikal dengan lengkap bersenjata dan semua yang terbunuh adalah anggota tentera.

Sukarelawan kemanusiaan yang berjaya memasuki kem berkenaan berkata kiraan mereka mendapati terdapat 19 mayat dengan semua kelengkapan dan senjata sudah diambil.

“Nampaknya penyerang sudah merancang apa yang mereka mahu ambil,” katanya.

Sokolo terletak di tengah wilayah Segou di mana kumpulan pemberontak yang dikaitkan dengan al-Qaeda dipercayai beroperasi.

Mali sedang berusaha mengekang kegiatan pengganas di utara negara itu, yang tercetus pada 2012 dan mengorbankan ribuan nyawa anggota tentera serta orang awam sehingga kini.

Rabu lalu, Mali mengumumkan akan mengadakan pilihan raya lewat Mac ini selepas beberapa kali ditangguhkan berikutan ketidakstabilan dan masalah politik dalaman.

Mengadakan pilihan raya adalah antara cadangan utama ketika rundingan krisis pada Disember lalu, bagi meneroka rumusan selain tindakan ketenteraan bagi menyelesaikan keganasan yang semakin buruk.

Meskipun terdapat kira-kira 4,500 anggota tentera Perancis di rantau Sahel selain 13,000 anggota pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Mali, konflik yang melanda negara itu merebak ke Burkina Faso dan Niger yang berhampiran. - AFP

Berita Harian X