Jumaat, 27 Disember 2019 | 7:57pm
- Foto fail
- Foto fail

Daesh dakwa bunuh 11 penganut Kristian

KANO: Pelampau Islam yang bersekutu dengan militan Daesh menyiarkan satu video yang menunjukkan mereka menghukum mati 11 penganut Kristian di timur laut Nigeria.

Rakaman yang disiarkan atas talian malam semalam di agensi berita Amaq menunjukkan 11 lelaki yang ditutup mata ditembak dan ditikam oleh pelampau dari kumpulan militan Negara Islam Wilayah Afrika Barat (ISWAP) di lokasi tidak didedahkan.

“Mesej ini ditujukan kepada penganut Kristian di seluruh dunia,” kata seorang lelaki bertopeng dalam video durasi seminit itu.

Lelaki itu mendakwa pembunuhan itu sebagai balasan atas kematian ketua Daesh, Abu Bakr al-Baghdadi dan jurucakapnya.

Baghdadi membunuh diri pada Oktober lalu bagi mengelakkan dia ditangkap semasa pasukan khas Amerika Syarikat menyerbu tempat persembunyiannya di wilayah Idlib di barat laut Syria.

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, ISWAP memperhebatkan serangan ke atas penganut Kristian, pasukan keselamatan dan kakitangan kumpulan bantuan dengan melakukan sekatan di lebuh raya dan pencarian. - AFP

Berita Harian X